KXP bakal tarik ramai pelabur ke Kedah

Azmin (tiga, kanan) menyerahkan bantuan Prasarana Asas Pertanian Risda Negeri Kedah kepada wakil Risda Kedah.
Azmin (tiga, kanan) menyerahkan bantuan Prasarana Asas Pertanian Risda Negeri Kedah kepada wakil Risda Kedah.
A
A
A

BALING - Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bakal menarik lebih ramai pelabur luar dan domestik ke negeri ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelabur akan datang ke negeri ini apabila prasarana berkenaan dibangunkan dengan sempurna.

"Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Kedah yang bernilai tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat negeri ini.

"Inilah aspirasi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kita tidak mahu anak-anak Kedah tinggalkan negeri ini bagi mencari pekerjaan di negeri lain," katanya dalam Majlis Aspirasi Pekebun Kecil di Kampung Lalang, semalam.

Beliau berkata, rakyat Kedah mempunyai potensi membangunkan negeri ini ke arah masa depan lebih baik.

"Orang Kedah, anak Kedah ada potensi. Cuma mereka perlukan sokongan," katanya.

Menurutnya, projek lapangan terbang itu antara tujuh projek mega yang diumumkan bagi memastikan Kedah dapat bersaing dengan negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, tambahan peruntukan RM1.1 bilion juga diluluskan kepada kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan di setiap daerah.

Artikel Berkaitan:

"Pengumuman dan kelulusan dibuat harus disusuli tindakan segera bagi melaksanakan projek-projek tersebut," katanya.

Kelmarin, Mohamed Azmin mengumumkan peruntukan lebih RM3.3 bilion bagi tujuh projek mega di Kedah.

Tujuh projek itu merangkumi pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dekat Kulim, dua fasa projek Lebuhraya Koridor Utara sepanjang 70 kilometer, perpustakaan digital di Alor Setar, taman industri petrokimia serta pelaksanaan Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).