Runtuhan batu: Identiti dua mangsa dikenal pasti

Mior Faridalathrash dan Azmi meninjau lokasi kejadian runtuhan batu kuari di Simpang Pulai.
Mior Faridalathrash dan Azmi meninjau lokasi kejadian runtuhan batu kuari di Simpang Pulai.
A
A
A

IPOH - Polis sudah mengenal pasti identiti dua mangsa yang yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands di sini pada Selasa.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43, sedang dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, seorang mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi mengeluarkan mangsa dijangka mengambil masa antara satu atau dua hari berikutan keadaan cuaca dan faktor pergerakan tanah di lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa disyaki masih berada di kawasan tanah runtuh dan kerja-kerja menyelamat telah dimulakan, namun Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak memaklumkan masih berlakunya pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Mior Faridalathrash (tengah) ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Mior Faridalathrash (tengah) ketika ditemui media di lokasi kejadian.

"Pihak JMG sedang membuat kajian sama ada usaha menyelamat pada hari ini boleh diteruskan dan punca sebenar kejadian itu masih dalam kajian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Selasa..

Hadir sama, Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan tiba bagi membantu usaha mengesan mangsa terbabit.

"SMART akan bawa peralatan mereka untuk kaji pergerakan tanah. Kita tidak mahu dalam usaha menyelamatkan mangsa ini akan berlaku kecederaan kepada pasukan penyelamat.

"Kita tunggu kebenaran daripada pihak JMG dan SMART sebelum teruskan proses mengeluarkan mangsa di tempat kejadian," katanya.

Operasi yang bermula pada jam 9.40 pagi itu melibatkan sekitar 57 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang dibantu pasukan elit seperti Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), polis, JMG, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.