'Kemudahan di terminal bas Batu Pahat agak ketinggalan'

Keadaan dalaman terminal bas di Batu Pahat yang dianggarkan berusia 30 tahun.
Keadaan dalaman terminal bas di Batu Pahat yang dianggarkan berusia 30 tahun.
A
A
A

BATU PAHAT - Sebuah terminal bas ekspres dan henti-henti di daerah ini yang dianggarkan telah berusia 30 tahun memerlukan penambahbaikan untuk keselesaan pengunjung.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata orang ramai atau pengunjung mahu kemudahan-kemudahan di terminal berkenaan dinaik taraf.

Setiausaha Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pakatan Peserai Batu Pahat, Abd Karim Sufian, 61, berkata, walaupun dari luaran terminal bas ini kelihatan cantik, tetapi dalaman dan kemudahan di situ agak ketinggalan berbanding terminal bas daerah lain di negeri ini.

Abd Karim Sufian
Abd Karim Sufian

Menurutnya, ramai yang merungut sebab kekurangan kemudahan di terminal ini setiap kali mereka ke sini.

“Saya rasa inilah terminal bas yang dikatakan tidak mempunyai kemudahan-kemudahan yang sepatutnya ada.

“Biasanya di terminal bas akan ada medan selera, kemudahan untuk membeli-belah dan sebagainya tetapi di sini tidak ada apa-apa.

“Kalau anda lihat di tingkat satu dan dua, dalamannya juga dilihat seperti tidak siap,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Abd Karim mendakwa, terminal bas berkenaan difahamkan dalam proses dinaik taraf tetapi telah tertangguh selama 10 tahun.

“Dalam tempoh 10 tahun tidak siap-siap naik taraf. Lebih-lebih lagi apabila Covid-19 melanda. Sepatutnya tahun lepas lagi perancangannya siap,” katanya.

Terminal bas di Batu Pahat.
Terminal bas di Batu Pahat.

Beliau turut mencadangkan agar pihak berwajib membuat satu pelan pembangunan untuk terminal bas yang menjadi tumpuan penduduk di Batu Pahat.

“Sama ada mungkin membuat satu terminal baru untuk kemudahan perkhidmatan awam seperti bas dan teksi agar dapat memudahkan pengguna-pengguna perkhidmatan awam dan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk orang ramai,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, perkhidmatan bas dan teksi di sini juga tidak berada di bawah satu bumbung.

"Di terminal bas ini sepatutnya mempunyai perkhidmatan ‘dua serangkai’ iaitu kemudahan bas dan teksi. Persatuan teksi yang ada juga diletakkan secara berselerakan.

“Kedua-dua perkhidmatan pengangkutan awam ini perlu digabungkan supaya memudahkan pengguna,” katanya lagi.

Penyelia bas, Koh, 67, pula mencadangkan agar pihak berwajib membuat satu ketetapan agar bas ekspres diletakkan di hadapan terminal berbanding pada masa ini ia diletakkan di belakang bersama bas henti-henti.

Koh menunjukkan tembok di belakang terminal bas ekspres yang seringkali menyukarkan pemandu bas ekspres untuk mengundur.
Koh menunjukkan tembok di belakang terminal bas ekspres yang seringkali menyukarkan pemandu bas ekspres untuk mengundur.

Menurutnya, ini kerana pengambilan penumpang di belakang terminal bas ternyata menyukarkan rata-rata pemandu bas ekspres kerana adanya tembok di situ.

“Bas ekspres susah untuk mengundur kerana ada tembok. Dahulu saya pernah mengadu agar tembok itu dibuang tetapi sampai sekarang tidak dibuang.

“Apabila bas ekspres mahu mengundur, mereka selalu melanggar tembok ini,” katanya.

Disebabkan itu, beliau mencadangkan agar bas ekspres ditempatkan di bahagian hadapan terminal bas manakala bas henti-henti diletakkan di belakang.

“Lagipun di hadapan terminal bas ini juga mempunyai bumbung dan penumpang tidak akan basah apabila hujan,” katanya.

Siti Nur Aqilah Salizam
Siti Nur Aqilah Salizam

Pengunjung, Siti Nur Aqilah Salizam, 19, pula menyifatkan terminal bas di sini sebagai menyedihkan kerana kurangnya penyelenggaraan dan pembersihan.

“Ia tidak dibersihkan dan pengunjung rasa tidak selesa. Kadang-kadang ada bau yang kurang menyenangkan,” katanya.

Dia juga menggesa agar terminal bas ini sentiasa dibersihkan secara berkala dan adanya satu penambahbaikan.

Katanya, kedai-kedai di dalam terminal bas ini juga seharusnya beroperasi lebih banyak bagi memudahkan pengunjung.