Penjawat awam tertekan: Maszlee jumpa Cuepacs

Dr Maszlee Malik
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan bertemu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu tekanan jiwa yang dihadapi penjawat awam.

Katanya, ia bagi memahami kajian yang telah dijalankan kongres itu.

"Saya akan berhubung dengan Cuepacs untuk memahami kajian tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam tertekan, ada yang miliki kad psikiatri: Cuepacs

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai pendedahan Cuepacs berkaitan tekanan yang dialami penjawat awam termasuk guru.

Semalam, Cuepacs mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend tersebut tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.

Jelasnya, isu kos sara hidup dan tekanan semasa bekerja dilihat antara faktor utama menyebabkan penjawat awam terus dibelenggu tekanan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, kes itu bukan di bawah bidang kuasanya.

"Kes ini di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia