Makan atau solat dulu?

No Image Caption
A
A
A

NIAT di hati hendak tunaikan solat dahulu. Namun, rakan serumah jemput makan pula, siap hidang lagi atas meja makan.

Jika kita dalam situasi ini, pasti kita akan rasa tersepit. Mana satu hendak kita laksanakan dulu? Makan atau solat?

Dalam situasi begini, ada beberapa hadis yang menganjurkan untuk kita mendahulukan makanan sebelum solat seandainya makanan sudah tersedia.

Antara hadis itu adalah daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat hendak didirikan, maka mulakanlah dengan makanan." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain ada juga dinyatakan tentang larangan jika kita mendahulukan solat dalam situasi itu.

Ia sebagaimana disebut dalam hadis, daripada Aisyah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar)." (Riwayat Muslim)

Nas atau hadis yang menyatakan agar mendahului makan berbanding solat itu bagaimanapun hanya boleh dilakukan jika masih ada waktu untuk mendirikan solat.

Tujuannya agar kita dapat mendirikan solat dalam keadaan penuh khusyuk dan tenang.

Artikel Berkaitan:

Semoga solat kita diterima ALLAH SWT.

(Sumber: Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)