Dua beradik lega padi sempat tuai sebelum 'musim bah'

Lembu kepunyaan dua beradik berkenaan dibawa naik ke tepi jalan yang tidak menganggu lalu lintas. (Gambar kecil: Eh Ley (kiri) Sing Tia.
Lembu kepunyaan dua beradik berkenaan dibawa naik ke tepi jalan yang tidak menganggu lalu lintas. (Gambar kecil: Eh Ley (kiri) Sing Tia.
A
A
A

TUMPAT - Dua beradik warga emas di Kampung Pulau Ular di sini melahirkan kelegaan apabila padi yang ditanam di atas tanah seluas 12 hektar sempat dituai seminggu sebelum 'musim bah' melanda Kelantan, Khamis lalu.

Chan Eh Ley, 77 memberitahu, padi ditanam itu dituai mengikut masa yang ditetapkan dan berasa amat gembira kerana cadangan dia mahu menuai padi awal seminggu membawa kebaikan.

"Pada mulanya saya ingat nak tuai minggu ini iaitu minggu yang sama hujan lebat. Namun saya mengubah perancangan untuk menuai awal iaitu seminggu sebelum memandangkan padi pun sudah matang.

"Kalau saya lambat bertindak baru-baru ini, memang kami tidak boleh makan hasil lah sebab sekarang ini memang hujan lebat dan air sudah melimpah ke jalan-jalan utama di kawasan ini," katanya ketika ditemui dikediamannya di sini.

Salah satu laluan di Kampung Pulau Ular tidak dapat dilalui kenderaan kecil berikutan air yang melimpah.
Salah satu laluan di Kampung Pulau Ular tidak dapat dilalui kenderaan kecil berikutan air yang melimpah.

Menurutnya, air di kawasan berkenaan naik sejak jam 8 malam Isnin selepas mengalami hujan sehingga menyebabkan kawasan di hadapan rumah mereka digenangi air sehingga paras betis.

Ujarnya padi yang sempat dituai adalah sebanyak 200 guni iaitu melibatkan jumlah 17,000 kilogram dengan nilai keseluruhan lebih RM10,000.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, adiknya iaitu Sing Tia, 75 memberitahu turut berasa lega kerana sempat menyelamatkan 10 ekor lembu milik dia dan abangnya.

Katanya, pada asalnya lembu-lembu berkenaan di letakkan di kawasan kediaman mereka namun telah dialih sehari sebelum air mendadak naik.

"Mujur sempat alih, sebelum itu saya letak lembu di kawasan yang memang menjadi laluan air. Namun tergerak hati untuk alih pergi letak di kawasan tinggi sedikit, jika masih di situ, memang hanyutlah lembu kami," katanya.