Dua rakan tidak mengaku rompak warga Jepun, Perancis

Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas dua kesalahan merompak secara berkumpulan terhadap dua wanita warga Jepun dan Perancis, dua bulan lalu.
Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa atas dua kesalahan merompak secara berkumpulan terhadap dua wanita warga Jepun dan Perancis, dua bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua kesalahan merompak secara berkumpulan terhadap dua wanita warga Jepun dan Perancis, dua bulan lalu.

Penjual burger, Muhammad Nor Azizi Zainal Abidin, 25, dan peniaga, Sharifuden Mohd Idzaham Shah, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh merompak warga jepun, pengurus syarikat khidmat perubatan, Anna Yamauchi, 33, dan warga Perancis, Claire Barbara Marie Bolard, 47, yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.

Antara barangan yang dirompak termasuk pasport, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit, syiling emas, pen jenis Cartier, kunci rumah, lesen memandu dan wang tunai.

Mereka didakwa merompak Claire di tepi Jalan Tun Razak di sini pada jam 11.15 pagi 20 Januari lalu manakala jenayah itu dilakukan terhadap Anna di hadapan pos pengawal sebuah kondominium di Jalan Medan Tuanku, di sini pada jam 10.30 pagi 21 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.

Dalam pada itu, Muhammad Nor Azizi mengulangi pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan meragut beg silang yang mengandungi pasport, telefon bimbit, kad bank dan wang milik seorang pekerja kafe warga Filipina, Gladys Mongcal, 35.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Ceylon, Bukit Ceylon, pada jam 8.40 pagi, 20 Januari lalu dan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sharifuden juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan, memiliki harta rompak iaitu telefon bimbit di hotel di Kota Damansara pada jam 9 pagi 29 Januari lalu.

Dia boleh dihukuman di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius.

Bagaimanapun, peguam, Effa Ruzanna Anuar merayu agar kedua-dua anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Sharifuden membantu kakaknya berniaga, perlu menyara ibu, isteri dan lima anak manakala Muhammad Nor Azizi masih bujang, tinggal bersama ibunya.

“Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan saya percaya mereka akan hadir ke mahkamah di setiap prosiding,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes.