Kerajaan unjur KDNK 5.5 hingga 6.5 peratus

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan kepada 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini. - Foto Bernama
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan kepada 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu adalah selari dengan unjuran yang dibuat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 5.7 peratus dan Bank Dunia, 5.8 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan itu akan didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial, serta penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi dan permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan.

“Tahun 2020 dan 2021 merupakan antara tahun yang amat mencabar dalam sejarah negara. Ketidaktentuan ekonomi berikutan pandemik Covid-19 serta impak bencana banjir pada awal dan hujung tahun 2021 telah menjejaskan kehidupan seluruh Keluarga Malaysia.

“Namun, di sebalik cabaran-cabaran tersebut, negara kita kekal berdaya tahan serta terus di landasan pemulihan. Ini amatlah jelas di mana Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020.

“Momentum pemulihan ini merupakan hasil daripada langkah segera kerajaan melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion, yang turut dilengkapi oleh inisiatif-inisiatif Bajet 2021, kejayaan Pelan Pemulihan Negara, serta pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena Majlis Perasmian Hari Hasil Ke-26 bertempat di Menara Hasil, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Nizom Sairi; Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Che Nazli Jaapar dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail Sabri, unjuran KDNK pada tahun ini diyakini akan tercapai, dengan sumbangan dan kerjasama berterusan antara Kementerian Kewangan dan LHDN, terutamanya berkenaan inisiatif Bajet 2022.

“Ia termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan secara ‘one-off’ (sekali beri) kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik. Hasil dari cukai ini akan digunakan untuk memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman di masa hadapan.

“Kerajaan juga akan melaksanakan Tax Identification Number (TIN), dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil negara.

“Pada masa yang sama, mulai tahun 2023, semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan kerajaan dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai sebagai salah satu syarat utama,” ujar beliau.