LHDN kutip cukai RM140 bilion

Kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus kepada lebih RM140 bilion.
Kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus kepada lebih RM140 bilion.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2020, kepada lebih RM140 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prestasi cemerlang itu merupakan kejayaan yang amat membanggakan kerana hasil kutipan cukai ini menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara.

Menurutnya, kejayaan itu adalah usaha transformasi LHDN yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian, dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services.

“Ketangkasan HASiL dalam mengadaptasi keperluan pendigitalan jelas sekali telah mempermudahkan urusan percukaian bagi seluruh Keluarga Malaysia seperti digambarkan melalui Statistik Percukaian HASiL yang menunjukkan trend pematuhan cukai yang meningkat dari tahun ke tahun.

“Selain itu, Keluarga HASiL juga telah memastikan pengurusan bantuan kepada seluruh Keluarga Malaysia berjalan dengan lancar dan diterima dalam tempoh sepatutnya. Ini termasuklah pelbagai bantuan tunai kepada rakyat dan perniagaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin (GKP).

“Kini, menerusi Bajet 2022, HASiL sekali lagi diberikan amanah menguruskan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) serta Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia 2021 iaitu inisiatif di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena Majlis Perasmian Hari Hasil Ke-26 bertempat di Menara HASiL pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa; Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi; Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Che Nazli Jaapar dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pendapatan negara terus stabil, ia memerlukan pendekatan senegara (whole nation approach) yang merentasi semua pihak termasuklah kerajaan, swasta dan rakyat selari dengan semangat serta konsep Keluarga Malaysia.

Ini terutamanya melalui pembayaran cukai, di mana hasil yang dikutip akan digunakan bagi membangunkan negara, sekali gus menyejahterakan Keluarga Malaysia dengan pelbagai program bermanfaat.

“Dengan sinar pemulihan yang lebih jelas tahun ini, kerajaan menjangkakan kutipan hasil akan kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19. Saya percaya dan yakin bahawa Keluarga HASiL akan berjaya mengulangi pencapaian tahun 2021 dan akan memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion ringgit bagi tahun ini.

“Bagi menyokong hasrat ini, HASiL melalui pengurusannya, perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:


“Ini termasuklah mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap. Secara tidak langsung, usaha ini akan meningkatkan kepercayaan Keluarga Malaysia dan memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.