'Tidak wajar gambarkan sebagai kempen pencerobohan'

Seorang penunjuk perasaan memegang plakad tertera 'hentikan perang' ketika menyertai demonstrasi di hadapan Kedutaan Rusia di Paris pada Khamis. - Foto AFP
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad tertera 'hentikan perang' ketika menyertai demonstrasi di hadapan Kedutaan Rusia di Paris pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China pada Khamis menggesa kesemua pihak supaya bertenang selepas sekutunya, Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine.

Beijing bagaimanapun menyatakan operasi ketenteraan itu tidak wajar digambarkan sebagai ‘kempen pencerobohan’.

“Kami sedang mengikuti perkembangan situasi terbaharu itu dengan teliti. Semua pihak perlu bertindak untuk mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal,” kata jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying.

Beliau turut melabel istilah ‘pencerobohan’ sebagai prejudis dan mengelak untuk menjawab soalan sama ada China ada menghubungi pemimpin Rusia dan Ukraine.

“Isu Ukraine mempunyai latar belakang sejarah yang sangat rumit dan berpunca daripada pelbagai faktor,” jelasnya lagi.

Beijing turut menuding jari menyalahkan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu Barat mereka kerana memburukkan krisis tersebut sejak beberapa minggu lalu menerusi propaganda perang mereka.

Susulan ketegangan yang semakin meningkat, Lithuania mengumumkan akan turut mengikut jejak langkah Ukraine untuk mengisytiharkan darurat.

“Pada hari ini, saya akan menandatangani dekri tentang langkah itu,” kata Presiden Gitanas Nauseda selepas mesyuarat Majlis Pertahanan Negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Vilnius akan meminta pengaktifan Artikel 4 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menyediakan perundingan kecemasan jika anggota perikatan tersebut terancam.

Negara Baltik yang juga bekas anggota Kesatuan Soviet itu merancang untuk mengenakan sekatan lanjut ke atas Belarus kerana peranan mereka dalam kempen dilancarkan Rusia.

Sementara itu, pembantu kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengesahkan lebih 40 tentera dan sekurang-kurangnya 10 orang awam terkorban dalam tempoh beberapa jam pertama operasi ketenteraan tersebut dilancarkan. - Agensi