Conte mungkin tinggalkan Spurs

Pemain Tottenham kecewa selepas tumpas 1-0 kepada Burnley dalam saingan Liga di Turf Moor awal pagi Khamis. - Foto Reuters
Pemain Tottenham kecewa selepas tumpas 1-0 kepada Burnley dalam saingan Liga di Turf Moor awal pagi Khamis. - Foto Reuters
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte menyifatkan dirinya tidak layak untuk menerima gaji daripada majikannya selepas skuadnya kalah 1-0 kepada Burnley dalam saingan di Turf Moor awal pagi Khamis.

Malah jurulatih kelahiran Itali yang menggantikan Nuno Espirito Santo November lalu, turut memberi bayangan bahawa dia mungkin meninggalkan Tottenham jika tiada peningkatan dalam keputusan perlawanan akan datang.

“Kami tewas empat daripada lima perlawanan terakhir dan sudah tentu tiada siapa yang mahu menerima situasi yang berlaku ketika ini.

“Saya datang ke kelab ini adalah untuk cuba memperbaiki keadaan tetapi mungkin ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

“Saya mahu bertanggungjawab atas prestasi buruk ditampilkan pasukan. Saya akan terima apa sahaja keputusan yang akan dilakukan pihak pengurusan kerana saya mahu lihat kelab ini berjaya,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, Burnley menyukarkan peluang Spurs untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kelompok empat teratas selepas menang ke atas skuad lilywhites dengan gol kemenangan Ben Mee pada separuh masa kedua

Kekalahan itu hadir hanya beberapa hari selepas Spurs merekodkan kemenangan 3-2 ke atas penyandang juara Manchester City.

Untuk rekod, kekalahan itu merupakan keempat buat Spurs daripada lima perlawanan liga dan kini menghuni tangga kelapan dibezakan tujuh mata di belakang kelompok empat teratas.

Artikel Berkaitan: