Lelaki pakai baju tidur wanita pecah masuk rumah dicekup

Suspek yang memakai baju tidur wanita serta bertudung berjaya ditahan orang awam dalam kejadian di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru, Tawau.
Suspek yang memakai baju tidur wanita serta bertudung berjaya ditahan orang awam dalam kejadian di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita dicekup orang awam selepas memecah masuk sebuah rumah dalam kejadian di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, suspek berusia 35 tahun itu yang memakai baju tidur wanita, bertudung dan memakai pelitup muka cuba melarikan diri ketika keluar dari rumah yang dipecah masuknya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pengadu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun memaklumkan ketika tiba di rumahnya, dia mendapati sepasang selipar diletakkan di hadapan pintu rumahnya.

"Remaja itu hairan dan mula mengesyaki rumahnya telah dipecah masuk. Dia juga mendapati jeriji dan pintu utama rumahnya ditutup tidak rapat.

"Dia bertindak masuk semula ke dalam kenderaan dan tiba-tiba ternampak seorang lelaki berpakaian baju tidur wanita, memakai tudung dan pelitup muka keluar dari pintu hadapan rumah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, remaja itu kemudian menghubungi sepupunya yang tinggal di taman yang sama.

"Dia melihat suspek terus berlari dan masuk ke dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di lorong hadapan rumah dan terus memecut secara mengundur.

"Selepas kira-kira 30 minit kemudian, dia dimaklumkan oleh sepupunya bahawa suspek berjaya ditangkap di kawasan lorong utama taman berkenaan oleh orang awam," katanya.

Peter berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang hiasan wanita di dalam rumah berkenaan hilang disyaki dicuri suspek.

"Jumlah kerugian kira-kira RM150 dan suspek sudah diserahkan kepada polis.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.