Mangsa gempa bumi Lombok tiba di KLIA2

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Seramai 17 mangsa gempa bumi di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia yang diterbangkan pulang dengan menaiki penerbangan Air Asia AK309 selamat tiba di KLIA2, hari ini.

Berdasarkan papan informasi ketibaan, pesawat tersebut selamat mendarat jam 3.32 petang.

Sehingga jam 4 petang ini, puluhan petugas media tempatan yang sudah berada di balai ketibaan antarabangsa masih menunggu kumpulan tersebut keluar.

Terdahulu Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seramai 17 orang mangsa tersebut berlepas dari Lombok kira-kira jam 3.15 petang.

Sementara itu, jenazah warganegara Malaysia yang terkorban dalam bencana ini, mendiang Datin Tai Siew Kim dan mendiang Lim Sai Wah dijangka tiba di KLIA petang ini jam 5.10 petang dengan pesawat Garuda Indonesia GA816 serta diiringi oleh ahli keluarga, manakala empat mangsa masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram.

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Indonesia dan pihak-pihak berkuasa tempatan atas kerjasama baik yang telah diberikan kepada wakil Kedutaan Besar Malaysia serta bantuan yang telah dihulurkan kepada para mangsa yang terlibat dalam bencana ini.

Pada masa yang sama kementerian itu mengingatkan kepada warganegara Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya mendaftarkan diri dengan pihak Perwakilan Malaysia di negara yang berkenaan.

Artikel Berkaitan: