Lelaki tikam pemilik bengkel direman seminggu

Laporan Sinar Harian - Gambar kecil: Mazuki
Laporan Sinar Harian - Gambar kecil: Mazuki
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang peniaga direman selama tujuh hari bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tikam hingga menyebabkan pemilik sebuah bengkel motosikal maut di Titi Serong, Tanjung Piandang, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, suspek berusia 52 tahun itu yang telah menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima telah direman bermula Selasa sehingga Isnin ini untuk melengkapkan siasatan.

"Reman tujuh hari iaitu hari ini sehingga 28 Februari. Polis turut merampas sebilah pisau," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan mangsa, Tan Hee Song, 43, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam suspek menggunakan pisau.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman, siasatan awal mendapati, kejadian itu disyaki berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

"Suspek menuduh mangsa telah menukar beberapa komponen motosikal miliknya ketika dihantar ke bengkel berkenaan tiga minggu lalu.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan: