Program Jualan Keluarga Malaysia diperluas ke Parlimen luar bandar

Antara barangan keperluan yang ditawarkan di PJKM.
Antara barangan keperluan yang ditawarkan di PJKM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diperluas ke Parlimen luar bandar dengan menawarkan barangan keperluan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, program jualan itu menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta keperluan lain.

"Penyertaan daripada pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup," kata kementerian itu dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut KPDNHEP, PJKM diadakan setiap minggu serentak di seluruh negara di lokasi-lokasi yang berdekatan dengan golongan sasar iaitu B40 dan M40.

"Biasanya PJKM diadakan selama dua hari di hujung minggu mengikut negeri seawal jam 8 pagi hingga 4 petang bergantung kepada stok barang yang ada," katanya.

Kementerian itu berkata, sejak program tersebut dilancarkan 2 Disember lalu, seramai 1,181,376 pengunjung telah membanjiri PJKM di 775 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan lebih RM22.85 juta, setakat 14 Februari.

"Faktor kejayaan PJKM adalah kolaborasi yang erat antara KPDNHEP dengan agensi-agensi kerajaan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta rakan-rakan strategik sektor peruncitan.

"Sehingga kini, sejumlah 113 rakan strategik telah mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan: