Putera Charles disiasat kes jual gelaran Sir

Pewaris takhta Britain, Putera Charles. - Foto Agensi
Pewaris takhta Britain, Putera Charles. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Polis Metropolitan dilapor sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang bilionair dari Arab Saudi ditawarkan kerakyatan United Kingdom (UK) dan pingat Kesatria yang membawa gelaran Sir sebagai pertukaran untuk menderma kepada yayasan dinaungi pewaris takhta Britain, Putera Charles.

Siasatan itu dilancarkan sehari selepas adik lelaki Charles, Putera Andrew mencapai penyelesaian di luar mahkamah berhubung dakwaan serangan seksual terhadap seorang wanita ketika mangsa berusia 17 tahun.

Lapor The Mirror, Charles boleh disiasat oleh Polis Metropolitan London sebagai saksi dalam siasatan kes jual beli penganugerahan Kesatria yang dilancarkan oleh pihak Scotland Yard.

Akhbar itu memetik sumber yang tidak dinamakan dan rapat dengan Charles menyebut bahawa putera berusia 73 tahun tersebut bersedia untuk bertemu Polis Metropolitan bagi membantu siasatan.

"Belum ada permintaan rasmi, tetapi jika diminta sudah tentu Charles sedia berbuat demikian," kata sumber terbabit.

Kenyataan itu dibuat selepas Scotland Yard melancarkan siasatan ke atas The Prince's Foundataion iaitu badan amal milik Charles susulan penilaian terhadap surat bertarikh September 2021 yang didakwa sebagai tawaran kepada bilionair Arab Saudi terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Prince's Foundation dan pembantu rapat Charles, Michael Fawcett meletak jawatan tahun lalu di tengah-tengah dakwaan bahawa beliau berjanji untuk membantu Mahfouz Marei Mubarak mendapatkan kerakyatan UK dan gelaran Sir.

Pegawai penguatkuasa undang-undang menyiasat dakwaan bahawa Mahfouz menderma 1.5 juta pound (RM8.5 juta) untuk projek pemulihan yang kononnya menarik minat Putera Charles. - Agensi

Artikel Berkaitan: