Guardiola tidak puas hati kemenangan City

Sebahagian pemain City meraikan kemenangan berkenaan. - Foto Getty Images
Sebahagian pemain City meraikan kemenangan berkenaan. - Foto Getty Images
A
A
A

BIARPUN menewaskan Sporting Lisbon 5-0 pada aksi pertama saingan kalah mati Liga Juara-Juara pada Rabu, namun pengendali Manchester City, Pep Guardiola masih tidak berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad The Citizens itu.

Menurut Guardiola, kesebelasan City dilihat sering kehilangan bola di sepanjang perlawanan selain jentera serangan pasukan juga gagal menyambut lorongan daripada rakan-rakan sepasukan.

“Kita gembira dengan kemenangan ini tetapi ia bukanlah aksi terbaik yang dipamerkan oleh pemain-pemain City.

“Dalam bola sepak kita tidak seharusnya kehilangan bola tetapi ia berlaku pada perlawanan ini dan jika perkara berterusan kita mungkin akan ‘dihukum’ pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Oleh itu, pemain perlu mengambil serius perkara ini dan tidak mengulanginya selepas ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Riyad Mahrez membuka jaringan buat City pada minit ke-7, diikuti Bernardo Silva pada minit ke-17 dan 44, Phil Foden (min-32) dan Raheem Sterling (min-58).

Guardiola berharap agar City dapat melakukan yang lebih baik pada aksi kedua kalah mati yang dijadualkan berlangsung di Etihad 10 Mac depan.

Katanya, biarpun City dilihat mempunyai kelebihan setelah kemenangan besar berkenaan, pemain masih perlu beraksi dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan.

Artikel Berkaitan:

“Kemenangan besar ini hanyalah satu keputusan. Kita masih ada satu lagi perlawanan sebelum sah berada di suku akhir.

“Oleh itu, untuk aksi kedua (kalah mati) nanti, saya mahu pemain lakukan yang lebih baik daripada ini (aksi pertama kalah mati),” katanya.