Tokan, dua lelaki edar dadah dicekup

Mior Faridalathrash (kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada dua lelaki dalam serbuan di Kamunting, Taiping pada Khamis lalu.
Mior Faridalathrash (kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada dua lelaki dalam serbuan di Kamunting, Taiping pada Khamis lalu.
A
A
A

TAIPING - Dua lelaki disyaki aktif mengedar dadah sekitar Kamunting, di sini dicekup dalam serbuan polis di sebuah premis pada Khamis lalu.

Mereka ditahan ketika serbuan kira-kira jam 9.30 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan bersama tiga kilogram dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai RM121,939.85.

"Suspek pertama berperanan sebagai 'runner' didapati mengedar dadah sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan menjumpai dadah jenis heroin seberat 2.75 kilogram dan sebungkus methamphetamine seberat 256.89 gram.

"Tindakan susulan berjaya menangkap lelaki berusia 29 tahun dipercayai tokan dalam sebuah kereta di hadapan premis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini pada Isnin.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) menerusi ujian saringan air kencing.

"Polis turut menyita rantai emas, sebuah kereta dan motosikal dan dua telefon bimbit bernilai RM45,434.24. Tindakan itu diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Dadah yang dijual untuk pasaran tempatan itu boleh dibekalkan kepada lebih 10,000 penagih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.