Penjual nasi lemak didenda RM50,000

Nor Jaimah menutup muka bagi mengelak wajahnya dirakam jurukamera ketika keluar dari mahkamah.
Nor Jaimah menutup muka bagi mengelak wajahnya dirakam jurukamera ketika keluar dari mahkamah.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang penjual nasi lemak didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini selepas didapati bersalah menganjurkan kumpulan wang kutu pada 2018.

Tertuduh, Nor Jaimah Kamarudin, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu dan setiap peserta dikehendaki membayar sejumlah wang tunai kepada kumpulan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Kubang Semang, Pulau Pinang antara Januari hingga Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Iqbal Mohd Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

Terdahulu, peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana wanita itu mempunyai tiga orang anak dan hanya berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan.

Bagaimanapun, Mohd Iqbal meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak terlibat dalam kegiatan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesalahan itu serius kerana penganjuran kutu yang dibuat bukan kaedah kutu tradisional, sebaliknya menawarkan kutu dengan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

Nor Jaimah yang ditemani suaminya membayar denda berkenaan bagi mengelakkan dikenakan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal berbuat demikian.