Kerajaan bayar kerugian jemaah umrah

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) melihat sebahagian makanan keperluan harian yang akan diagihkan kepada nelayan setempat sempena Majlis Santuni Nelayan DUN Kijang di Kompleks LKIM Kuala Besar di sini pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Marzuk (dua dari kiri) melihat sebahagian makanan keperluan harian yang akan diagihkan kepada nelayan setempat sempena Majlis Santuni Nelayan DUN Kijang di Kompleks LKIM Kuala Besar di sini pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian.

Menurutnya, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

"Kami mengetahui kumpulan jemaah yang terkandas baru-baru ini untuk mengerjakan umrah mengalami kerugian tertentu yang melibatkan perbelanjaan seperti penginapan dan tempahan lain. Oleh itu, kerajaan akan menanggung sebahagian daripada perkara tersebut.

"Proses ini masih dalam penelitian akhir, barangkali pertengahan bulan ini mengikut apa yang disebutkan oleh TH dengan kerjasama MOTAC dan kumpulan persatuan umrah akan memurnikan (membuat tapisan) senarai jemaah yang benar-benar menanggung kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Santuni Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, pembayaran berkenaan akan dibuat secara terus oleh TH kepada jemaah yang berkenaan.

Tambah beliau, jemaah perlu ke mana-mana cawangan TH yang terdekat dengan membawa dokumen berkaitan termasuk kad pengenalan diri, visa dan juga butiran terperinci mengenai umrah.

Artikel Berkaitan:

"Kalau mereka ada akaun TH lagi senang memandangkan pembayaran akan dimasukkan secara terus ke akaun jemaah. TH akan agihkan peruntukan yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada bakal jemaah yang akan menunaikan umrah pada Selasa ini (8 Februari) agar menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal memakai pelitup muka dan sebagainya.

"Seperti kita lihat, sehari dua ini berlaku peningkatan kes harian Covid-19 susulan penularan varian Omicron. Jadi saya harap supaya jemaah kekal patuh SOP memandangkan kita mahu memastikan mereka pulang dari umrah nanti agar tidak menyumbangkan kepada peningkatan kes yang mendadak,” katanya. - Bernama