Cabaran getir menanti presiden baharu PSM

Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
A
A
A

[DIKEMASKINI] SEMUA tahu bahawa sepak takraw yang sinonim dengan masyarakat Melayu bukan sekadar permainan rakyat. Sebaliknya sukan warisan itu melambangkan maruah dan jati diri dalam kalangan komuniti sepak takraw sejak era Kesultanan Melayu Melaka.

Malah, elemen-elemen seperti melibas, mengadang dan merejam sudah cukup melambangkan seni kepahlawanan orang Melayu itu sendiri setiap kali masuk gelanggang menentang musuh dalam mempertahankan maruah dan mengemudi hala tuju bangsanya.

Tanggal 12 Februari ini seluruh ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kecuali Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sarawak termasuk Perlis, akan melaksanakan tanggungjawab memilih kepimpinan baharu badan induk tersebut.

Sesi pemilihan itu juga antara usaha untuk kembali semula diterima Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas PSM disingkirkan daripada badan induk tersebut.

Jawatan nombor satu PSM kini kosong apabila Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya pada 4 Jun lalu setelah memegang tampuk kepimpinan PSM sejak 22 Disember 2002, selepas badan induk sepak takraw negara tersebut terpalit isu dengan ASTAF.

'Gendang perang' pemilihan kepimpinan baharu PSM sudah dipalu apabila Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah mula menawarkan diri bertanding untuk mengisi kekosongan presiden keenam badan induk tersebut.

Selain jawatan presiden, turut dipertandingkan adalah satu kerusi timbalan presiden dan tiga posisi naib presiden - yang sememangnya tiga portfolio itu saling mendukung antara satu sama lain.

Biarpun begitu proses menawarkan diri untuk bertanding merebut mana-mana jawatan itu masih lagi terbuka sehingga tengah hari Ahad, yang pastinya dijangka berlaku pelbagai kejutan pada saat-sat akhir.

Artikel Berkaitan:

Apapun kesudahannya pemilihan kepimpinan baharu itu nanti, sebenarnya tugas berat sudah pun menanti presiden baharu - bermula dengan usaha meraih semula keyakinan seluruh komuniti sepak takraw Malaysia.

Dua temasya tahun ini - Sukan SEA Hanoi di Vietnam dan Sukan Asia Hangzhou di China menjadi ujian buat Presiden PSM. Sudah tentu, kilauan emas diletakkan sebagai penanda aras selain mengakhiri dominasi Thailand sejak sekian lama.

Di Hanoi, Malaysia bakal menghadapi saingan sengit musuh tradisi, Thailand serta Indonesia dan Myanmar manakala di Hangzhou, Korea Selatan dijangka mampu menghadirkan ancaman selain tiga negara jiran Asia Tenggara itu.

Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi presiden baharu adalah usaha untuk mengharmonikan semula hubungan badan induk tersebut dengan ASTAF yang diketuai presidennya, Datuk Abdul Halim Kadir.

Penyingkiran PSM daripada ASTAF sebenarnya tidak hanya merugikan kedua-dua pihak, namun sebenarnya lebih merugikan pembangunan akar umbi sepak takraw negara.

Antara cabaran lain menanti presiden baharu adalah untuk terus memujuk ahli gabungannya dari Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak serta Perlis kembali bersatu di bawah satu payung PSM.

Apapun, cabaran pertama presiden baharu bermula sebaik berakhirnya pemilihan apabila perlu memastikan saf dalam kalangan ahli keluarga besar PSM yang berusia lebih 60 tahun ini kembali dirapatkan semula.