‘BAM ikut proses sepatutnya’

Ismail Sabri (dua dari kiri) berbual dengan Zii Jia dan Jin Wei sambil diperhatikan Mohamad Norza (kiri) di Perdana Putra pada Khamis.
Ismail Sabri (dua dari kiri) berbual dengan Zii Jia dan Jin Wei sambil diperhatikan Mohamad Norza (kiri) di Perdana Putra pada Khamis.
A
A
A

KEPUTUSAN menarik balik ‘penggantungan’ dua tahun terhadap Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dilaksanakan mengikut proses yang sepatutnya dan bukan disebabkan arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pertemuannya dengan Ismail Sabri di Perdana Putra pada Khamis hanya bagi tujuan memaklumkan keputusan yang dicapai badan induk badminton negara itu.

“Ketika pengumuman (penggantungan) dua tahun itu, saya dah kata bahawa ia dibuat berdasarkan keputusan sebelum ini dan turut dijelaskan bahawa ada proses rayuan yang boleh dibuat.

“Selepas proses rayuan dikemukakan oleh Zii Jia dan Jin Wei, BAM melihat kepada perkara dan maklumat yang kita ada dan kita membuat keputusan untuk membebaskan (kontrak) kedua-dua pemain itu.

“Jadi, saya hanya memaklumkan kepada Perdana Menteri (dalam pertemuan di Perdana Putra pada Khamis) keputusan yang kita dah buat sehari sebelum itu (Selasa),” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada 21 Januari lalu, BAM mengumumkan tidak akan mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan dalam tempoh dua tahun selepas mereka menghantar surat keluar daripada badan sukan itu.

Bagaimanapun, BAM pada Khamis telah memberi ‘lampu hijau’ kepada Zii Jia dan Jin Wei untuk bergerak sebagai pemain profesional selepas menerima surat rayuan dan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain terbabit.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, penyelesaian baik yang dicapai dalam kontroversi tersebut turut mengambil kira keluhan dan komen daripada pelbagai lapisan masyarakat terutama peminat sukan tanah air.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah maklumkan kepada beliau bahawa perkara ini sudah selesai, beliau sangat gembira. Perdana Menteri berkata isu melanda badminton yang juga antara sukan utama negara telah mendapat perhatian semua pihak.

“Beliau turut memberikan motivasi kepada Zii Jia dan Jin Wei untuk melakukan yang terbaik demi negara walaupun sudah bergelar pemain profesional,” ujarnya.

Mengulas dakwaan mengatakan sistem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara memberi tekanan tinggi kepada pemain negara, beliau menjelaskan, ia hanya bersifat pandangan peribadi.

“Sistem ini adalah adalah sistem yang kita kekalkan dan telah melahirkan digunakan Datuk Lee Chong Wei selama 19 tahun dan berjaya juga melahirkan pemain legenda bertaraf dunia yang lain.

“Sistem latihan sama juga telah dilaksanakan terhadap lebih 70 pemain remaja dan 40 pemain utama negara dengan menggunakan fasiliti bertaraf dunia dibangunkan BAM,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyangkal kemungkinan berlakunya penarikan pihak penaja terhadap badan induk berkenaan ekoran daripada perkembangan terbaharu di ABM.

“Pertama, bakal penaja mahupun pihak pelabur ini, mereka akan melihat bagaimana sukan badminton itu menjadi tarikan kepada rakyat Malaysia yang begitu begitu ramai.

“Kedua, melihat organisasi itu berfungsi melalui proses urus tadbir dan aturcara yang sedia ada. Ia dibuktikan dengan prestasi cemerlang skuad muda negara pada Piala Sudirman tahun lalu,” katanya.