Suami isteri ditahan bersama dadah bernilai RM2 juta

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan dalam empat serbuan bermula 20 Januari lalu pada Rabu.
Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan dalam empat serbuan bermula 20 Januari lalu pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang suami isteri antara empat yang ditahan dalam empat serbuan berasingan bersama pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM2 juta di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Kesemua mereka yang merupakan ahli sindiket pengedaran dadah warga tempatan itu ditahan dalam operasi yang diadakan bermula 20 hingga 22 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keempat-empat mereka berusia lingkungan 30 hingga 43 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM1.99 juta.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, seorang lelaki yang bekerja sebagai pemilik bengkel besi berusia 43 tahun ditahan di tepi jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam pada jam 5 petang.

"Lelaki itu ditahan bersama tiga bungkusan warna kuning bertulis Daguanyin (teh Cina) yang disyaki syabu seberat 3,162 gram bernilai RM113,832. Hasil tangkapan tersebut, kita telah menyerbu rumahnya yang terletak di kawasan berdekatan.

"Di rumahnya, kita menahan seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan isteri kepada suspek pertama dan tidak bekerja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, di rumah tersebut, polis merampas 20 bungkusan (dengan kertas bungkusan sama) disyaki syabu seberat 20,800 gram bernilai RM748,800.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menyita lapan kenderaan untuk membantu siasatan.
Polis turut menyita lapan kenderaan untuk membantu siasatan.

"Selain itu, turut dirampas dua bungkus plastik mengandungi 49 paket plastik lutsinar mengandungi 1,289 gram ketamin bernilai RM70,895.

"Pemeriksaan lanjut, kita merampas 23 bungkusan plastik mengandungi 235 ikatan foil yang mana setiap ikatan mengandungi 25 keping foil disyaki pil eramin 5. Jumlah keseluruhan dirampas adalah 58,750 biji pil bernilai RM881,250," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil maklumat daripada suspek pertama, polis berjaya menahan seorang lelaki di tepi jalan di Butterworth.

"Polis turut merampas empat paket plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki ketamin seberat 3,250 gram bernilai RM178,750. Tangkapan terakhir adalah seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Kedua-dua lelaki tersebut bekerja sebagai pembantu kedai makan. Sindiket ini bergiat aktif sejak awal tahun lalu dengan sasaran pasaran tempatan. Kesemua dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 187,638 penagih jika ia terlepas ke pasaran," katanya.

Sementara itu, Muhd Shuhaily berkata, ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek negatif dadah manakala suami isteri terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun dua lelaki lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, selain rampasan dadah, polis turut menyita lapan kenderaan; barang kemas, wang tunai dan wang dalam akaun dengan nilai keseluruhan RM1.31 juta.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM3.3 juta dan kesemua mereka direman bermula 21 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.