Mengapa disekat bakat bertaraf dunia?

Lee Zii Jia - Foto AFP
Lee Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

KEBELAKANGAN ini Malaysia dihidangkan dengan pelbagai berita mengenai pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia yang secara rasmi meletakkan jawatan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Peletakan jawatan yang dibuat Zii Jia pada 19 Januari lalu telah menimbulkan pelbagai reaksi netizen serta pemimpin negara di media sosial.

Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, surat peletakan jawatan tersebut telah diterima sejak 11 Januari lalu kerana Zii Jia dipercayai berdepan dengan tekanan. Semestinya seluruh negara termasuk Norza kecewa apabila seorang demi seorang pemain badminton negara memilih untuk meninggalkan persatuan berkenaan.

Namun demikian, tindakan Zii Jia yang berumur 23 tahun untuk meninggalkan skuad kebangsaan telah mendatangkan satu kesan negatif terhadap pembinaan kariernya yang lebih ke hadapan. BAM telah memutuskan untuk tidak mendaftarkan beliau dalam mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari.

Tindakan tersebut telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia menyuarakan pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap BAM kerana dianggap menyekat pemain tersebut untuk terus beraksi. Manakan tidak, pemain bertaraf dunia tersebut telah mempunyai pengalaman yang luas apabila menyertai pelbagai pertandingan di awal usia 20-an.

Sebagai rekod, Zii Jia telah melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai juara Kejohanan Seluruh England pada Mac 2021. Beliau memulakan kempen 2021 dengan berada di suku akhir Terbuka Thailand Yonex sebelum terkandas seawal pusingan pertama di Terbuka Thailand Toyota. Dia bagaimanapun tewas di separuh akhir jelajah dunia akhir BWF.

Zii Jia juga membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan dirinya tewas di tangan pemain China, Chen Long di pusingan 16 terbaik. Selain itu turut membantu skuad negara meraih gangsa Piala Sudirman.

Secara logik, seharusnya Zii Jia tidak dikenakan hukuman sebegitu meskipun membuat keputusan untuk meninggalkan persatuan tersebut. Bagi penulis, biar sahaja untuk Zii Jia membuat keputusan sama ada untuk menyertai atau tidak. Sekiranya ingin menyertai, keseluruhan kos perlu ditanggung sendiri. Tidak perlu untuk menghalang seseorang membina kariernya yang sedang membangun ini.

Perkara tersebut juga telah direstui oleh Norza untuk Zii Jia bergerak secara profesional apabila telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai kemelut yang melanda dirinya dengan badan induk badminton kebangsaan itu.

Artikel Berkaitan:

Hukuman yang dikenakan kepada Zii Jia akan memburukkan lagi nama persatuan dan menyebabkan lebih ramai pemain akan membuat keputusan yang sama.

Namun demikian, susulan kemelut yang melanda BAM dan Zii Jia tersebut, pemain nombor tujuh dunia itu telah menghantar surat rayuan berhubung keputusan tersebut. Menurut BAM yang menjaga kepentingan sukan badminton negara, perkara tersebut sedang diteliti dan akan diselesaikan secara baik.

Badan pentadbir badminton negara itu berkata, keputusan untuk tidak mendaftarkan pemain perseorangan lelaki itu untuk kejohanan antarabangsa selama dua tahun akan memberikan kesan mendalam bukan hanya kepada fraterniti sukan badminton tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menggesa supaya BAM dan Zii Jia mencari penyelesaian segera kemelut yang melanda pada ketika ini. Pada hemat beliau, isu itu bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.

Bahkan, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut berharap perkara yang sama dan menyuarakan pendapat bahawa isu yang berpanjangan ini tidak memberi kebaikan. Sebaliknya, boleh mencetuskan tanggapan negatif peminat luar terhadap nama baik badminton tanah air, yang merupakan antara sukan utama di Malaysia.

Berita mengenai keputusan Zii Jia untuk meninggalkan BAM juga menjadi antara topik berprofil tinggi yang menjadi tumpuan peminat seluruh dunia.

Jangan pula disebabkan hukuman yang dikenakan nanti, ia merugikan rakyat Malaysia yang sentiasa berharap negara bangkit dalam sukan badminton.

* Nazrin Zulkafli ialah Wartawan Sinar Harian