Rusia lancar latihan ketenteraan baharu di sempadan

Rusia meningkatkan latihan ketenteraan selepas berdepan amaran keras Barat jika ia tetap melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine. - Foto Agensi
Rusia meningkatkan latihan ketenteraan selepas berdepan amaran keras Barat jika ia tetap melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Tentera Rusia pada Selasa memaklumkan ia mengadakan latihan ketenteraan melibatkan kira-kira 6,000 anggota bersama 60 jet pejuang di selatan Moscow berhampiran Ukraine dan di Semenanjung Crimea yang dikuasai Kremlin sekali gus menjadi provokasi terbaharu terhadap kesiapsiagaan benteng pertahanan Barat yang dipertingkatkan di Eropah Timur.

Jurucakap tentera menyifatkan latihan peluru hidup itu sebagai pemeriksaan untuk kesediaan tempur selepas ketegangan semakin meningkat antara Rusia dan Barat berhubung penempatan pasukan tentera mereka di sempadan Kiev.

"Setiap unit berlatih pelbagai tugasan termasuk mengatur sokongan menyeluruh untuk latihan taktikal," ujar Kementerian Pertahanan Rusia yang mengesahkan latihan itu akan dilakukan di Crimea dan wilayah selatan Rostov serta Krasnodar.

Menurutnya, mereka juga akan menjalani latihan menembak menggunakan kesemua jenis bahagian peluru berpandu kumpulan kapal tentera laut, Armada Laut Hitam dan Caspian Flotilla.

Sementara itu, agensi berita tempatan melaporkan jet pejuang dan pesawat pengebom juga berlatih melakukan serangan udara terhadap sasaran pada jarak maksimum.

Difahamkan, butiran lanjut tentang tempoh sebenar latihan ketenteraan itu akan diadakan tidak diberikan.

Latihan ketenteraan itu dilancarkan selepas Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutunya kini berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kempen pencerobohan Moscow ke atas Kiev.

Barat menzahirkan kebimbangan selepas Rusia menempatkan kira-kira 100,000 anggota tentera mereka di sempadan Ukraine dan turut mencetuskan krisis terbesar sejak Perang Dingin. - AFP

Artikel Berkaitan: