Nadal kekal garang di Terbuka Australia

Rafa Nadal
Rafa Nadal
A
A
A

PEMAIN pilihan keenam Rafa Nadal mara ke pusingan keempat Terbuka Australia setelah menjinakkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Karen Khachanov, 6-3, 6-2, 3-6, 6-1.

Pemain Sepanyol itu, yang berusaha untuk merangkul kejuaraan Grand Slam ke-21 dengan ketiadaan kelibat Roger Federer dan Novak Djokovic, terlebih dulu garang apabila mendahului dua set.

Namun Khachanov yang berusia 25 tahun dari Moscow, Rusia berstatus ranking ke-30 dunia juga pilihan ke-28, kembali bangkit mendominasi set ketiga setelah berjaya menyaingi Nadal.

Khachanov yang tewas dalam kesemua tujuh pertemuan menentang Nadal, juara Terbuka Australia 2009 sebelum ini masih mampu untuk bangkit memberi saingan kepada lawan.

Nadal, yang mara ke pusingan 16 terakhir di Melbourne buat kali ke-15 dalam 17 penampilan, akan menentang seorang lagi pemain Rusia, pilihan ke-18 Aslan Karatsev, atau pemain Perancis, Adrian Mannarino seterusnya.

"Saya bermain menentang pemain yang hebat malam ini dan gembira kerana ini adalah perlawanan terbaik saya sejak kembali. Saya telah melalui beberapa detik sukar pada tahun lalu tetapi malam ini ia amat bermakna segala-galanya," ujar pemain berusia 35 tahun itu.

Artikel Berkaitan: