Krisis hidupan liar ancam nyawa orang asli

Nasir menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.
Nasir menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Krisis antara manusia dan haiwan liar yang semakin memuncak di seluruh kawasan penempatan orang asli di Gua Musang mendorong sekumpulan orang asli menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa.

Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian segera dalam memastikan keselamatan orang asli di kawasan itu terjamin.

Menurutnya, beberapa siri kejadian serangan binatang buas termasuk harimau hingga ada yang terkorban di Kampung Sau baru-baru ini boleh berlaku lagi sekiranya kerajaan tidak menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

“Aduan telah dibuat kepada Jabatan Perhilitan Gua Musang, sehingga kini mereka masih gagal menangkap ketiga-tiga ekor harimau yang berkeliaran di kampung-kampung di kawasan pentadbiran Pos Bihai.

“Isu ini berlaku disebabkan tindakan kerajaan negeri Kelantan yang telah meluluskan ribuan kawasan hutan untuk tujuan pembalakan, perladangan dan perlombongan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum pada Selasa.

Difahamkan keadaan semakin meruncing apabila kerajaan negeri turut menyahwartakan kawasan hutan simpan di kawasan Hutan Simpan Perias turut menyumbang kepada isu ini.

Menurut Iventori Harimau Kebangsaan, Hutan Simpan Kekal (HSK) Perias merupakan habitat harimau di Negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Nor Mohamad Shafiq
Nor Mohamad Shafiq

Mengulas lanjut, Nasir berkata, penduduk kini hidup dalam ketakutan dan tidak dapat meneruskan rutin harian seperti biasa.

“Mereka sanggup tidak keluar rumah kerana khuatir diserang kumpulan harimau yang berkeliaran,” katanya.

Kejadian serangan binatang buas melibatkan orang asli bukan perkara baharu kerana ada tiga insiden serangan haiwan liar yang turut melibatkan beruang matahari.

Selain itu, orang asli pedalaman Gua Musang juga sering berdepan dengan masalah gangguan gajah liar yang masuk ke dalam kebun dan memusnahkan tanaman mereka.

Nasir
Nasir

Antara kawasan yang menjadi serangan gajah liar melibatkan enam buah Pos antaranya Pos Pasik, Pos Gob, Pos Simpor dan Pos Hau yang mempunyai kira-kira 30 buah perkampungan.

Sementara itu, Pengerusi Kampung Kusimpor, Nor Mohamad Shafiq Dendi Abdullah, 30, berkata, antara tuntutan Komuniti Orang Asli Pedalaman /Ulu Kelantan melalui Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jkoak) adalah menuntut kerajaan membatalkan projek empangan hidroelektrik mega di Sungai Neggiri yang menjadi habitat hidupan liar.

Beliau berkata, penduduk juga berharap kerajaan dapat menjalankan siasatan terperinci berikutan tragedi serangan harimau yang menyebabkan nyawa penduduk melayang.

"Tiga ekor harimau itu sudah dikesan berkeliaran sejak 10 Disember lalu, malah tindakan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) guna mercun untuk halau haiwan itu juga tidak menyelesaikan masalah.

“Tindakan sambil lewa seperti itu seolah-olah menunjukkan keselamatan dan nyawa orang asli bukan sesuatu yang penting,” ujarnya.

Kronologi serangan bintang buas di penempatan Orang Asli di Gua Musang

7 Februari 2017 – Seorang kanak-kanak orang asli dari suku Bateq, Kampung Aring 8 parah dicakar beruang matahari.

19 Disember 2019 – Seorang lelaki orang asli Kampung Sempaded, Pos Belatin parah diserang beruang matahari.

5 Julai 2021- Seorang lelaki orang asli di Kampung Badak, Pos Bhihai parah diserang seekor harimau ketika pergi ke ladang.

7 Januari 2022- Seorang lelaki orang asli maut diserang seekor harimau belang tidak jauh dari rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai.