STL: Kudrat lokal NS Antlers mampu menyengat

Wan Mohd Husni (barisan belakang, dua kanan) bersama pengurusan dan pemain Negeri Sembilan Antlers.
Wan Mohd Husni (barisan belakang, dua kanan) bersama pengurusan dan pemain Negeri Sembilan Antlers.
A
A
A

AURA lokal Negeri Sembilan Antlers diyakini mampu menyaingi kelibat import gergasi sepak takraw tempat dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 musim ini.

Malah menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah, keyakinan itu hadir selepas melihat komitmen jitu para pemain bagi mengharungi musim STL norma baharu buat kali kedua.

"Ya, Negeri Sembilan Antlers tidak merekrut kerana menyakini keupayaan dan daya saing yang mampu diberikan barisan pemain lokal pasukan dalam saingan kali ini.

"Saya juga yakin faktor keserasian yang dibentuk bersama sejak dari tahun lalu mampu menghasilkan keputusan positif dalam misi Antlers mencipta kejayaan.

"Biarpun saya akui kehadiran pemain import akan menjadikan pemburuan kejuaraan lebih sengit, namun Antlers tetap positif elemen keserasian dan semangat kerjasama berpasukan akan menjadi pemisah antara Antlers dan regu lawan," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Mengenai sasaran musim ini, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, Antlers menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada edisi kali ini menerusi gandingan pemain lama dan baharu yang bakal ditampilkan.

"Antlers meletakkan sasaran kelompok tiga terbaik kali ini, malah kami lebih selesa tampil dengan status 'underdog' tanpa tekanan, biarpun pesaing lain memiliki kekuatan apabila diperkuatkan dengan pemain berstatus bintang dan import.

"Apa yang penting Antlers tidak akan memandang mudah keupayaan pesaing lain sama ada lawan diperkuatkan pemain tempatan berstatus bintang atau import begitu juga sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah mengingatkan kepada para pemain-pemain untuk memfokuskan dari satu perlawanan ke satu perlawanan sepanjang saingan ini," katanya.

Untuk rekod, Antlers yang mengakhiri cabaran di kelompok empat terbaik musim lalu, kali ini diperkuatkan dengan khidmat jurulatih Shahibol Mazlan dan Mohd Shahir Nasruddin.

Sementara kudrat Antlers diperkuat dengan pemain baharu dari pelapis skuad Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan, Muhammad Zul Aqil Ikram Muhammad Sah di posisi apit manakala bekas pemain Kelantan Warrior, Yus Hanif Rosli sebagai tekong dan Mohd Syazreen Qamar Salehan selaku ketua pasukan.