Himpunan ICERD: Pas janji himpunan aman

Rosli Abdul Jabbar
Rosli Abdul Jabbar
A
A
A
KUANTAN - Pas Pahang yakin Himpunan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Sabtu ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang provokasi.

Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabbar berharap, peserta himpunan mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan selepas pihak berkuasa membenarkan perkara itu diadakan.

Menurutnya, semua pihak juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang provokasi sepanjang himpunan terbabit.

“Kami (Pas Pahang) sangat berterima kasih kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana meluluskan himpunan ini... menyatakan pendirian rakyat Malaysia dalam isu ICERD dan ia lambang kesatuan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan fahaman agama yang menolak sebarang cubaan pihak luar mencampuri urusan dalaman negara ini.

"Bukan saja pimpinan dan ahli pas Pahang juga akan turut serta sebaliknya ia akan disertai ribuan lagi rakyat (yang tidak menyokong mana-mana parti) dan saya dimaklumkan, bukan sahaja orang Islam atau Bumiputera sahaja akan turun beramai-ramai hujung minggu ini, tapi rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam juga akan bersama dalam himpun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan DBKL dan PDRM yang membenarkan himpunan bantah ratifikasi ICERD hujung minggu ini, hari ini

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan semalam mengumumkan pihaknya membenarkan himpunan bantah ratifikasi ICERD selepas mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM.

Menurutnya, kebenaran itu diberikan kerana yakin ia diadakan secara aman, memandangkan perhimpunan itu adalah tanda kesyukuran dengan keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 20,000 pimpinan dan ahli Pas dari Pahang akan turun ke ibu negara bagi menyertai himpunan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, ada ahli dan pemimpin sudah bersetuju untuk menyertai himpunan berkenaan setelah perkara itu di maklumkan kepada mereka

"Himpunan ini adalah bagi menyatakan pendirian bahawa kita sebagai rakyat sebuah negara berdaulat, tidak akan menerima sebarang usaha mana-mana pihak, apatah lagi pihak luar, mencampuri urusan negara.

“ ICERD ini juga secara jelas cuba mengganggu keharmonian dan mencabar Perlembagaan Persekutuan yang kita pegang selama ini," katanya.