Kes saman 1MDB: Jho Low, bapa, ibu masukkan kehadiran

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau 'Jho Low', bapa beliau Tan Sri Larry Low Hock Peng dan ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe telah memasukkan kehadiran dalam kes saman AS$3.7837 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

Memorandum Kehadiran itu difailkan oleh firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners yang mewakili ketiga-tiga defendan pada 29 Disember 2021.

Peguam K Siva Kumar yang mewakili 1MDB berkata, mahkamah mengarahkan Jho Low dan kedua ibu bapanya memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 26 Januari ini selain menetapkan 9 Februari untuk pengurusan kes.

"Bagaimanapun, tiga defendan lain iaitu kakak Jho Low, May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong masih belum memasukkan kehadiran dalam kes saman itu," kata peguam itu ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris secara dalam talian pada Rabu.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Eric serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Eric

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Eric berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen. - Bernama

-

Artikel Berkaitan: