Lelaki patah kaki, pesakit strok antara ditempatkan di PPS

Azmi berkerusi roda dipindahkan ke PPS SK Taman Merdeka selepas kediamannya dinaiki air sejak Ahad.
Azmi berkerusi roda dipindahkan ke PPS SK Taman Merdeka selepas kediamannya dinaiki air sejak Ahad.
A
A
A

MELAKA - Seorang pekerja am yang mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan antara mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka Jaya di sini.

Azmi Torodin, 49, berkata, dia baru seminggu pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital dan tidak menyangka hujan berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan kediamannya di Taman Merdeka Jaya di sini dinaiki air pada Ahad.

Menurutnya, walaupun sukar bergerak dan terpaksa menggunakan kerusi roda, namun bersyukur keluarga termasuk anak-anak membantu menjaga selain pihak pengurusan PPS yang sentiasa bertanya khabar keadaannya.

"Setiap kali banjir kami sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS, sebelum ini ditempatkan sama ada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah atau SMK Tun Mutahir.

"Tapi di sekolah ini lebih selesa dan sebelum ini tiada kemudahan khemah Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), berbanding sekarang memang bersyukur," katanya yang mempunyai empat anak perempuan ketika ditemui di PPS SK Taman Merdeka Jaya di sini pada Rabu.

Sementara itu, suri rumah, Siti Hasnah Husin, 52, yang menjaga suaminya, Muslim Abdullah, 57, yang menghidap strok dan seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) menghargai layanan yang diberikan petugas di PPS itu termasuk menempatkan mereka sekeluarga di aras bawah.

Siti Hasnah bersama suaminya yang lumpuh sebelah badan ketika ditemui di PPS SK Taman Merdeka di sini, pada Rabu.
Siti Hasnah bersama suaminya yang lumpuh sebelah badan ketika ditemui di PPS SK Taman Merdeka di sini, pada Rabu.

Menurutnya, rumah yang didiami dia sekeluarga sejak tahun 2003 sering mengalami banjir sehingga kini, namun reda dan yakin ada hikmah di sebalik bencana yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, suaminya yang merupakan pesara kerajaan baharu keluar wad Hospital Melaka selepas menjalani rawatan akibat jangkitan kuman.

"Memanglah penat nak mengemas rumah yang dinaiki air berlumpur dan nak menjaga suami yang sakit.

"Apa pun kita kena reda dan setakat ini saya selesa di PPS ini termasuk makanan yang mencukupi serta keperluan lain," katanya.

Bagi pembantu kedai, Nursyadariah Abdul Kadir, 26, setiap kali hujan berpanjangan apa yang membimbangkannya adalah keadaan ibunya yang telah berusia dan ayahnya yang lumpuh separuh badan akibat strok.

"Masa kejadian pada Ahad, saya tiada di rumah kerana bekerja di Cheng.

"Mujur jiran-jiran prihatin dan bersama anggota polis datang membantu memindahkan ibu bapa saya ke PPS," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Nadma, Meor Ismail Meor Akim menasihatkan agar mangsa banjir di PPS tidak terburu-buru pulang ke rumah kerana ada kawasan yang masih mengalami terputus bekalan elektrik.

"Biarlah yang sihat balik untuk cuci rumah dahulu, biar seorang dua pulang ke rumah tengok keadaan dah okey baharulah pulang, jangan terburu-buru," katanya.