KKM digesa lebih serius urus pengembara dari luar negara

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Selangor menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) lebih serius dalam aspek pengurusan pengembara dari luar negara yang tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Pengerusinya, Mohd Rezwan Alias berkata, ini berikutan situasi yang dilihat kelam-kabut berlaku di kaunter KKM apabila jemaah umrah terpaksa beratur panjang untuk proses pengesahan lokasi kuarantin dan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Lebih memburukkan keadaan katanya, jemaah umrah terpaksa beratur di barisan yang sama dengan warga asing yang juga pekerja asing seperti dari India.

“Jemaah juga terpaksa berhimpit dan beratur tanpa ada penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa jemaah umrah yang tidak berpuas hati apabila terpaksa berada hampir empat jam di balai ketibaan KLIA.

Video itu turut memaparkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berada di lapangan terbang berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Rezwan berkata, kakitangan KKM yang terhad dalam menguruskan proses tersebut mengakibatkan situasi kelam kabut di kaunter berkenaan.

“Bayangkan ada 1,500 ketibaan serentak yang menunggu giliran namun sekiranya hanya lima kaunter KKM sahaja yang beroperasi ini boleh menyebabkan proses menunggu memakan masa hampir tiga hingga empat jam.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, keadaan di tempat ketibaan juga sempit dan sesak. Kurangnya pegawai operasi di lokasi, tiada minuman dan makanan disediakan menyulitkan jemaah umrah khususnya warga emas,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, KKM perlu mengatasi masalah tersebut supaya dapat mengurangkan penularan wabak Covid-19 di negara ini.