Atlet kebangsaan perlu diberi satu lagi peluang

No Image Caption
A
A
A

ATLET kebangsaan perlu diberi satu lagi peluang untuk membuktikan prestasi diri mereka pada tahun depan sebagai usaha untuk kekal dalam program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen berkata penetapan baharu MSN itu disifatkan sebagai tidak adil sama sekali kerana atlet kehilangan pencapaian dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

"Sudah tentu ia tidak adil, atlet ini terkurung dalam MSN. Mereka berlatih bersungguh-sungguh siang dan malam serta mengalami tekanan mental tetapi kini mereka diberitahu mereka tidak diperlukan dan tidak mendapat lanjutan kontrak mereka," katanya.

Walaupun beberapa atlet mempunyai peluang bertanding pada Olimpik Tokyo Julai lalu, Mae melihat kebanyakan mereka tidak dapat bersaing dengan rasa pertandingan sebenar kerana kekurangan aksi kompetitif menjelang acara temasya sukan terbesar di Jepun itu.