Dewan panas, MP pembangkang, kerajaan saling 'berperang'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Dewan Rakyat hari ini, berlangsung agak panas apabila Ahli Parlimen daripada Pembangkang dan Kerajaan saling bertikam lidah.

Pertelingkahan berlaku apabila Ketua Pembangkang Datuk Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) ketika berucap bagi menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menyelar kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) sebelum ini yang dipetik berkata kerjasama Pas-UMNO merupakan satu manifestasi 'perang' terhadap rakyat Bukan Melayu.

Ucapan itu sekaligus menarik minat Datuk Takiyuddin Hassan (Pas -Kota Bharu) yang mencelah dengan mengatakan bahawa "Kalau ada perang kita sambut".

Kenyataan Takiyuddin itu bagaimanapun menimbulkan perasaan kurang senang daripada Ahli Parlimen Kerajaan yang menyifatkan kenyataan itu sebagai suatu yang tidak wajar diungkapkan dalam Dewan Rakyat.

"Tarik balik kenyataan itu," tegas Ahli Parlimen (DAP- Jelutong) RSN Rayer.

Pertikaian lidah itu berlangsung beberapa minit sebelum Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menegur Ahli Parlimen agar menjaga tingkah laku di dalam Dewan Rakyat selain menyarankan agar Ahli Parlimen tidak menimbulkan kenyataan yang boleh mengundang perasaan kurang senang berhubung kemajmukan rakyat di negara ini.

"Kita perlu menjaga tatatertib, jangan timbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat," katanya

Oleh kerana waktu perbahasan hampir tamat Speaker meminta agar Ismail Sabri menghabiskan sesi penggulungan.Sesi bersambung petang ini.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 yang bermula minggu ini hingga 11 April.