Pemaju perumahan perlu patuhi pelan ESCP: Exco

Veerapan (tengah) melawat kawasan projek perumahan Iringan Bayu di Mambau.
Veerapan (tengah) melawat kawasan projek perumahan Iringan Bayu di Mambau.
A
A
A

SEREMBAN - Pemaju perumahan di Negeri Sembilan perlu mematuhi Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) yang diluluskan bagi mengelak kejadian banjir lumpur dan pencemaran sungai.

Exco Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, mereka boleh dikenakan tindakan kompaun jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Setakat ini, kita menerima satu aduan mengenai pihak pemaju yang tidak mematuhi ESCP ditetapkan di daerah Tampin dan tindakan susulan telah diambil terhadap pemaju terbabit.

"Kerajaan negeri menerusi jawatankuasa dan pasukan petugas Ops Lumpur akan menjalankan pemantauan terhadap setiap kerja-kerja tanah yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melawat dan membuat pemeriksaan kawalan hakisan dan kelodak menerusi Ops Lumpur di tapak projek perumahan Iringan Bayu di Mambau di sini pada Isnin.

Veerapan berkata, Ops Lumpur itu dilakukan bagi membantu kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar dan mengawal kualiti air sungai.

"Saya bersama pasukan petugas Ops Lumpur termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri dan Jabatan Kerja Raya negeri telah menjalankan pemantauan kerja-kerja tanah yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju di tapak projek.

"Pemaju-pemaju yang sedang menjalankan kerja tanah perlu mematuhi sepenuhnya ESCP yang telah diluluskan. Segala komponen ESCP yang telah dibina oleh pemaju hendaklah diselenggara secara berkala antaranya 'sediment basin', 'temporary earth drain' dan 'check dam' bagi memastikannya berfungsi dengan baik dan tidak berlaku sebarang kejadian banjir lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan: