Barcelona kena mula semula di Liga Europa

Pemain Barcelona kecewa selepas gagal mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.
Pemain Barcelona kecewa selepas gagal mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.
A
A
A

JURULATIH Barcelona, ​​Xavi Hernandez berikrar untuk mengembalikan gergasi Sepanyol itu ke puncak bola sepak Eropah selepas mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara pada Rabu selepas tumbang 3-0 di tangan Bayern Munich.

Juara Eropah lima kali itu tersingkir di peringkat kumpulan buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun selepas menamatkan saingan Kumpulan E di tempat ketiga.

Kelab Catalan itu tidak pernah terlepas untuk mara ke peringkat 16 terakhir pada saingan tersebut dalam setiap musim sejak musim 2003-2004.

Gol Thomas Mueller dan Leroy Sane meletakkan Bayern selesa 2-0 di hadapan pada separuh masa pertama sebelum pemain remaja The Bavarians, Jamal Musiala menjaringkan gol ketiga Bayern selepas rehat pada perlawanan yang berlangsung di Allianz Arena.

"Sudah tentu saya tidak gembira. Saya tidak suka bahawa ini adalah realiti kami sekarang.

“Kami memulakan era baru dari sini - untuk bekerja keras dan kembali ke Liga Juara-Juara," kata Xavi.

Bayern, yang turut menewaskan Barcelona 3-0 di Camp Nou ketika kedua-dua pasukan bertemu pada September, layak ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada kedudukan pertama.

Mereka kini menyertai Liverpool dan Ajax yang berjaya mengutip 18 mata penuh dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan 2-0 Benfica di laman sendiri kepada Dynamo Kiev bermakna Barcelona menduduki tempat ketiga dan jatuh ke Liga Europa.

Untuk rekod, Xavi, 41, yang mengambil alih The Blaugrana empat minggu lalu, kini mengalami kekalahan berturut-turut selepas tumbang buat kali pertama sebagai ketua jurulatih Barcelona ketika menentang Real Betis hujung minggu lalu.

"Kami bermula dari Liga Juara-Juara Eropah. Malangnya, kini kami berada di Liga Europa, yang bukan tempat untuk kami.

"Pasukan akan bekerja keras untuk meletakkan Barcelona kembali di tempat yang betul dan banyak perkara perlu diperbetulkan.

“Justeru kami perlu memenangi Liga Europa dan mendapatkan semula mata dalam liga Sepanyol,” tegas Xavi.