Kerajaan laksana rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar: PM

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

MUKAH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak yang disediakan MASwings, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia adalah sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati penduduk kawasan luar bandar pada tahap yang terbaik.

Katanya, rasionalisasi itu melibatkan kajian semula objektif RAS, implikasi kewangan terlibat, laluan dan kekerapan penerbangan RAS, kadar tambang yang dikenakan, pesawat yang akan diguna pakai dan mekanisme pemberian subsidi kepada pengguna perkhidmatan ini, dari masa ke masa.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Lapangan terbang bernilai RM450 juta itu telah dibuka bermula 17 Jun 2021, untuk menggantikan lapangan terbang kecil yang dikhaskan untuk pelepasan dan pendaratan pendek (STOLport) Mukah sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, MASwings telah mula menyediakan perkhidmatan udara luar bandar atau RAS di Sarawak dan Sabah pada 2008, melalui Perjanjian RAS yang ditandatangani pada 3 Julai 2008.

Satu perjanjian baharu iaitu ‘Perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) untuk Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) telah ditandatangani pada 4 Januari 2019 antara kerajaan Malaysia dengan syarikat penerbangan MASwings, bagi meneruskan penyediaan perkhidmatan RAS ini sehingga tahun 2024.

“Berdasarkan Perjanjian ‘PSO for RAS’ ini, MASwings menyediakan perkhidmatan bagi 40 laluan di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung Lapangan Terbang Baharu Mukah, Ismail Sabri berkata, pembinaannya akan merancakkan peluang ekonomi yang dapat memberi impak berganda dan berangkai kepada penduduk di Mukah serta keluarga Malaysia amnya.

Ia juga dilihat akan menyediakan sokongan bagi aktiviti di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak atau SCORE, yang bakal mewujudkan jaringan ekonomi yang lebih efektif dan efisien kelak.

Jelasnya, beliau dimaklumkan bahawa lapangan terbang baharu ini dilengkapi dengan kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR, berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding hanya pesawat Twin Otter sebelum ini.

Dengan status yang telah ditambah baik, katanya, Lapangan Terbang Baharu Mukah boleh mengendalikan lebih ramai penumpang yang akan mengukuhkan kedudukan Mukah sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

“Lapangan terbang bukan sahaja menjadi tempat untuk pesawat mendarat dan berlepas, malahan ia adalah gerbang untuk pengangkutan penumpang serta barangan ke pelbagai destinasi, yang sememangnya berkait rapat dengan kegiatan ekonomi,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga projek lapangan terbang itu dapat disiapkan, walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia dalam sektor pengangkutan.

“Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara, selain sebagai simbol rakyat Malaysia yang bersatu-padu,” katanya. - Bernama