Suami, bekas suami culas bagi nafkah akan disekat akaun bank

Suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank. - Foto hiasan/123RF
Suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada lagi alasan bagi suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan kerana mereka yang berdegil bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari lalu.

"Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 telah memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurut JKSM, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada mahkamah sesyen turut diperluaskan kepada perintah dikeluarkan mahkamah rendah,mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan syariah.

"Jabatan ini melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang melaksanakan fungsi penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah terhadap bekas suami atau bapa yang culas dalam pembayaran nafkah dan mut'ah, sentiasa mencari kaedah terbaik dalam membantu ibu dan anak dinafikan hak mereka," kata kenyataan itu.

JKSM berkata, pihaknya berusaha dan mencari mekanisme melalui sekatan akaun bank ke atas suami culas memberi nafkah sejak 2019.

"Kunjungan hormat ke Jabatan Undang-Undang, Bank Negara Malaysia (BNM) telah dilakukan pada 14 Mac 2019 bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai tindakan tersebut," menurut kenyataan itu lagi.

Tambah JKSM, berdasarkan perbincangan itu, BNM menjelaskan bahawa peruntukan sedia ada dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) adalah berhubung dengan pendedahan maklumat akaun pelanggan bagi mematuhi perintah mahkamah yang tidak rendah dari mahkamah sesyen dan bagi mematuhi perintah mahkamah garnishee yang menahan wang dalam akaun pelanggan sebagaimana diperuntukkan dalam perenggan 134 (1)(1) Akta 758 yang dibaca bersama Jadual 11 Akta 758.

Artikel Berkaitan:

"Satu perbincangan bersama Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, BSK dan BNM kemudian diadakan pada 11 Jun 2019 bagi membincangkan pelaksanaan cadangan itu.

"Satu permohonan bagi mendapatkan pandangan undang-undang diangkat pada 5 Ogos 2019 bagi dua isu utama iaitu prosiding hiwalah terhadap pihak bank bagi menguatkuasakan perintah nafkah dan mut’ah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah dan penzahiran maklumat akaun bank penghutang penghakiman bagi tujuan pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah dan mut’ah mahkamah syariah.

"Kaedah penzahiran maklumat dan mendapatkan wang penghutang penghakiman yang disimpan oleh pihak ketiga termasuk institusi kewangan adalah sebahagian daripada prosiding hiwalah yang diperuntukkan bawah akta atau enakmen tatacara mal mahkamah syariah seluruh Malaysia. Sebagai contoh peruntukan bawah Akta 585 seksyen 148(1)(a) dibaca bersama seksyen 155, seksyen 159(1)(b) dan seksyen 161(2) (b)," jelas kenyataan tersebut.

Kata kenyataan itu, semasa pendengaran prosiding hiwalah, atas permohonan pemiutang mahkamah boleh mengeluarkan perintah penahanan sejumlah wang yang terhutang kepada pihak institusi kewangan daripada sebarang transaksi pengeluaran.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKSM Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berkata tindakan itu dilaksanakan sehingga suami atau bekas suami penghutang penghakiman menyelesaikan hutang nafkah mereka.

"Ia akan berterusan selama mana perintah nafkah yang belum dilaksanakan walaupun pasangan sudah bercerai," katanya.

Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, tindakan pelaksanaan sekatan akan dimaklumkan kepada pemilik akaun.

"Pihak bank akan membayar terus kepada pemohon iaitu pemiutang penghakiman terdiri daripada isteri, bekas isteri atau anak, berdasarkan kepada perintah perlaksanaan hiwalah," katanya.