Gangguan air di USJ pulih 53 peratus

Proses pemulihan bekalan air di kawasan USJ mencapai tahap 53 peratus sehingga jam 8 pagi pada Ahad.
Proses pemulihan bekalan air di kawasan USJ mencapai tahap 53 peratus sehingga jam 8 pagi pada Ahad.
A
A
A

SUBANG - [DIKEMAS KINI] Proses pemulihan gangguan bekalan air di kawasan USJ 1 hingga USJ 27, di sini mencapai tahap 53 peratus sehingga jam 8 pagi pada Ahad.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kemaskini di laman Facebook berkata, tempoh gangguan dan pemulihan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan bekalan.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor menyarankan pengguna yang telah mendapat bekalan agar membiarkan pili mengalirkan air sehingga jernih terlebih dahulu sebelum digunakan untuk keperluan harian.

"Pengguna yang menerima bekalan juga diharap dapat menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar," kata kenyataan itu.

Air Selangor pada Sabtu memaklumkan beberapa kawasan di USJ 1 hingga USJ 27 bakal berdepan gangguan air tidak berjadual susulan penurunan paras Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan, Puchong.

Masalah itu berlaku berikutan isu teknikal atau ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke kolam berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Air Selangor berkata, bekalan air mula disalurkan pada jam 2 pagi, Ahad secara berperingkat kepada pengguna di kawasan terlibat setelah ujian kualiti dijalankan di kolam itu memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 3 petang, Ahad dan pihak kami akan terus berusaha bagi memastikan kemudahan pengguna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebarang maklumat terkini berhubung gangguan bekalan air berkenaan akan dimaklumkan melalui semua medium komunikasi mereka termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh ajukan kepada Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor," jelasnya.