Sila log masuk terlebih dahulu.

Kos makanan ayam punca telur naik harga

Laporan Sinar Harian pada 18 November.
Laporan Sinar Harian pada 18 November.
A
A
A

IPOH - Kenaikan kos harga makanan ayam di pasaran dunia menjadi punca kenaikan harga ladang telur ayam di peringkat pengeluar.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat beberapa peniaga runcit menaikkan harga sehingga tiga sen sebiji bagi setiap gred telur sejak bulan lalu.

"Seramai 255 penguat kuasa dan pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri membuat pemantauan bekalan dan harga di semua peniaga runcit, pemborong dan 11 syarikat pengeluar telur ayam.

"Beberapa peniaga runcit dikesan telah menaikkan harga sebiji telur ayam iaitu daripada 44 sen kepada 47 sen gred A, 42 sen kepada RM45 sen (gred B) dan 40 sen kepada 43 sen gred C," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, KPDNHEP juga telah menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mencari penyelesaian isu tersebut.

Kata Abdul Yunus, surat pemberitahuan kepada peniaga peruncit, pembekal dan pengeluar telur ayam yang menaikan harga yang tidak munasabah telah dikeluarkan supaya mereka dapat membuat semakan penyelarasan harga jualan.

"Ia bagi memastikan harga telur ayam ini dijual dengan harga yang munasabah dan tiada unsur pencatutan berlaku walaupun Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 telah berakhir pada 7 November lalu.

"Bermula 13 Ogos hingga Jumaat sebanyak 83 surat pemberitahuan semakan penyelarasan harga dan 12 notis dibawah Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan. Peniaga tersebut telah akur dengan menurunkan harga dengan menjual dengan harga yang munasabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peniaga diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran, pengedaran telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna dengan harga munasabah tiada unsur pencatutan.

"Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan manakala bagi perbadanan atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan harga telur di negeri ini turut mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM2 bagi satu papan 30 biji sejak bulan lalu.

Kenaikan harga itu berlaku bagi semua jenis gred sama ada yang dijual di pasar pagi, kedai runcit mahupun pasar raya.