Cheng Hoe usah terganggu dek 'anasir luar'

Cheng Hoe.- FOTO: Football Association of Malaysia
Cheng Hoe.- FOTO: Football Association of Malaysia
A
A
A

PADA Rabu lalu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe secara rasmi mengumumkan senarai 28 pemain yang akan mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan terakhir menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan depan.

Daripada senarai tersebut, Cheng Hoe akan menggugurkan empat pemain sebelum senarai akhir 24 pemain yang akan menggalas cabaran Harimau Malaya diumumkan pada 3 Disember - dua hari sebelum sepak mula 'Piala Dunia' Asia Tenggara itu.

Melihatkan barisan 28 pemain yang mendapat call up kali ini, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila tujuh tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) termasuk dua pemain naturalisasi - Mohamadou Sumareh dan Guilherme de Paula berada dalam radar Cheng Hoe.

Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC pula masing-masing memiliki empat wakil manakala Terengganu FC (dua), KL City FC (dua), PJ City FC (dua) Melaka United FC (satu), Penang FC (satu) dan Perak FC (satu).

Empat pemain yang berpangkalan di luar negara - Dion Cools yang kini bersama FC Midtjylland, Dion Cools serta Junior Eldstal (Chonburi FC) dan Dominic Tan (Police Tero FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) turut dipanggil memperkasa Harimau Malaya.

Bagi mengimbangi keampuhan Harimau Malaya, Cheng Hoe mengadunkan gabungan pemain berpengalaman - Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar dengan tenaga muda - Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng, Azri Ghani serta Luqman Hakim bagi mengikuti kem latihan.

Namun, seperti sudah dijangka senarai yang diumumkan Cheng Hoe kali ini mendapat kritikan warganet khususnya peminat bola sepak tempatan apabila empat pemain JDT termasuk bintang muda meningkat naik, Arif Aiman Hanapi tiada dalam senarai.

Situasi itu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak di laman-laman sosial sehingga ada yang menganggap Cheng Hoe sekadar 'tangkap muat' bagi membentuk pasukan menjelang Piala Suzuki AFF 2020.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada yang mendakwa keputusan Cheng Hoe tidak menyenaraikan dua pertahanan terbaik JDT - Corbin Ong dan Matthew Davies serta penjaga gol berpengalaman skuad Harimau Selatan itu, Farizal Marlias bakal mengundang 'malapetaka' besar di Singapura nanti.

Kini tiada apa lagi perlu diperdebatkan - senarai nama pemain sudah dikeluarkan, keputusan muktamad juga sudah dibuat. Perdebatan panas yang berlaku di alam maya sejak beberapa hari lalu mula semakin reda.

Ini bukan kali pertama situasi sama berlaku. Setiap kali panggilan antarabangsa dibuat, isu sebegini akan timbul. Ada sahaja yang tak puas hati dengan pemilihan pemain - tak kira pemain itu dipanggil atau tidak - senang kata, pilih salah, tak pilih pun salah.

Penyokong Harimau Malaya sendiri kalau boleh bukan hanya mahu melihat anak-anak buah Cheng Hoe sekadar beraksi di final. Tetapi lebih penting, mereka berharap Harimau Malaya kembali 'mengaum' selaku jagoan rantau Asia Tenggara.

Jadi sebaiknya, kita sebagai penyokong setia bola sepak Malaysia, terus memberi sokongan kepada Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya. Mereka lebih berhak dalam menentukan barisan pemain yang mampu menggalas tugas di pentas antarabangsa.

Sebagai seorang jurulatih profesional, Cheng Hoe cukup arif dan sudah tentu mengenali setiap pemain. Biarkan Cheng Hoe fokus dengan kerjanya kerana beliau pastinya sedar tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

Mungkin Cheng Hoe berasakan senarai pemain yang ada mampu membentuk 'kombinasi terbaik' bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020. Jadi biarkan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya membuat 'kerja' masing-masing.

Dengan sasaran layak ke pentas final, tak usahlah Cheng Hoe dibebankan dengan masalah di luar padang. Fokus utama Cheng Hoe sekarang - mempersiapkan pasukan. Jika ada rezeki, tak mustahil tiket final sekali lagi berada dalam genggamannya.