Terimalah hakikat hilang kelayakan PPR, pesan Kon Yeow

Kon Yeow (tengah) bergambar dengan penerima tawaran rumah kos rendah dan sederhana rendah yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Kon Yeow (tengah) bergambar dengan penerima tawaran rumah kos rendah dan sederhana rendah yang disediakan oleh kerajaan negeri.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM- Penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diusir sebelum ini perlu menerima hakikat bahawa mereka telah hilang kelayakan untuk tinggal di perumahan berkenaan.

Namun kesemua mereka boleh membuat permohonan bagi mendapatkan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik yang diuruskan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mereka yang terlibat dengan pengusiran ini perlu mempunyai perancangan untuk keluar daripada masalah yang dihadapi dan berusaha ke depan bagi melihat alternatif lain untuk mendapatkan rumah sebagai tempat perlindungan.

"Hilang kelayakan untuk menghuni PPR tidak semestinya mereka hilang segalanya malah mereka masih boleh memohon untuk kategori lain dan kita akan berikan keutamaan.

"Tampil ke hadapan dan lihat projek yang mana sesuai untuk mereka. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk mereka tetapi mereka juga perlu juga membuat perancangan juga bagaimana untuk keluar daripada masalah ini," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan ekspo perumahan mampu milik Pulau Pinang 2019 di sini.

Turut hadir, Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan barisan ADUN di negeri ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 22 penyewa PPR Taman Manggis diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka selepas dikatakan telah hilang kelayakan untuk menghuni rumah berkenaan.

Semuanya disebabkan ada di antara mereka yang mempunyai pendapatan yang melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan konsep PPR, penyewa dibenarkan mendiami perumahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan iaitu selama lima tahun sahaja.

Bagaimanapun kesemua penyewa yang terlibat dengan pengusiran sudah tinggal di PPR berkenaan lebih 10 tahun lalu.

Kon Yeow berkata, sekiranya penyewa mempunyai rumah lain secara automatik mereka hilang kelayakan kerana rumah PPR disediakan oleh kerajaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Katanya, rumah PPR juga bukan hartanah yang boleh diurus niagakan dan disewakan kepada pihak lain sekiranya mereka terpilih untuk menghuni di semua PPR di negeri ini.

Mengulas mengenai dakwaan seorang penyewa, Khalidah Nazir Ahmad,62 yang menyatakan dia ditawarkan rumah PPR di Taman Manggis disebabkan rumah lamanya di Sungai Pinang dirobohkan, Kon Yeow berkata, sepatutnya rumah di Taman Manggis itu dijadikan transit sementara dan dia perlu mendapatkan rumah lain dan berurusan dengan pihak yang membuat penawaran tersebut.

Beliau mengakui mungkin terdapat kelemahan daripada segi pengurusan namun ia berlaku pada zaman pentadbiran sebelum kerajaan PH mengambil alih kerajaan negeri.

"Kategori ini sepatutnya transit sahaja dan mereka ditawarkan di rumah di Sungai Pinang, Sri Saujana dan beberapa tempat lain.

"Taman Manggis memang tempat transit sementara untuk dia walaupun sementara ia sudah berlarutan 11 hingga 12 tahun dan individu terbabit perlu 'follow up' dengan pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Jadgeep berkata, kerajaan negeri melalui beberapa wakil rakyat sudah beberapa kali mengadakan pertemuan di samping menawarkan tawaran namun mereka tidak menerimanya.

“Kita memang terbuka dari segi rundingan tetapi isu yang timbul ini adalah mereka sudah hilang kelayakan untuk terus tinggal di PPR itu.

“Namun kerajaan negeri tetap membantu untuk cuba meningkatkan tahap ekonomi mereka dengan mengutamakan mereka memiliki kediaman sendiri melalui pembelian rumah unit kos rendah atau sederhana rendah,” katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan penyewa PPR berkenaan untuk mendapatkan pandangan tanpa diganggu pihak lain.