X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Kanak-kanak 6 tahun lemas terjatuh sungai

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk proses bedah siasat.
A
A

YAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Perupok ketika sedang bermain bersama kakaknya, petang Ahad ditemui lemas pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat mangsa ditemui di Kampung Setar pada jam 10.05 pagi Isnin, kira-kira dua kilometer dari sebuah jambatan berhampiran rumah neneknya oleh orang awam yang turut melakukan operasi pencarian.

Menurutnya, sebelum kejadian, Mohd Hafiz Izzan Awary dikatakan sedang bermain bersama kakaknya yang berusia sembilan tahun sebelum disedari hilang pada jam 6.45 petang Ahad.

"Difahamkan, mangsa sedang bermain sebelum kakaknya terlebih dahulu pulang ke rumah nenek mereka.

"Mangsa disedari hilang setelah bapanya melihat basikal mangsa ditinggalkan di tepi jambatan tidak jauh dari rumah sebelum memulakan pencarian,"katanya.

Shahnaz melihat lokasi di mana basikal mangsa ditemui.
Shahnaz melihat lokasi di mana basikal mangsa ditemui.

Keluarga mangsa akhirnya membuat panggilan kecemasan setelah gagal mencari mangsa di sekitar lokasi basikal ditemui.

Menurut Shahnaz, pihaknya menerima panggilan memaklumkan seorang kanak-kanak dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

"Pasukan bomba dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) Yan telah menjalankan operasi pencarian di lokasi dipercayai hilang.

"Operasi pada hari ini (Isnin) diteruskan di kawasan Sungai Kampung Perupok sehingga ke perairan kuala Sungai Udang, Yan.

"Dengan penemuan mangsa hari ini, secara rasminya operasi pencarian ditamatkan,"katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Yan untuk proses bedah siasat.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!