Remaja maut motosikal terperosok bawah kereta

Motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di Kampung Orang Asli Gerachie pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 3.03 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi 12 minit kemudiannya.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Civic dipandu wanita berusia 50-an yang telah bertembung dengan motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa.

"Motosikal ditunggang remaja perempuan orang asli berusia 20-an itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung kereta berkenaan.

"Kemalangan tersebut telah menyebabkan mangsa terperosok di bawah kereta sebelum dibawa keluar oleh anggota bertugas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera parah disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan: