52 mat motor ditahan ubah suai ekzos

Salah seorang pegawai bertugas menunjukkan antara motosikal yang melakukan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan 'fancy'. Foto ihsan PDRM
Salah seorang pegawai bertugas menunjukkan antara motosikal yang melakukan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan 'fancy'. Foto ihsan PDRM
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Tindakan 52 mat motor mengubahsuai ekzos motosikal sehingga bising mengundang padah apabila ditahan polis berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Telaga di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, kesemua ditahan pada jam 12.18 tengah hari selepas beberapa individu daripada mereka sengaja membunyikan ekzos bising hingga mengganggu ketenteraman orang awam.

Menurutnya, ketika itu sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu berada di lokasi dan memerhati gelagat mereka.

"Mereka dibiarkan berpesta 'bunyi' dalam tempoh lebih kurang 10 minit, sebelum pemeriksaan ke atas 52 motosikal dilakukan.

"Pemeriksaan mendapati selain menunggang motosikal dengan bunyi ekzos yang kuat, ada juga yang melakukan beberapa kesalahan melibatkan aksesori motosikal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Antara motosikal yang ditahan dan dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.- Foto ihsan PDRM
Antara motosikal yang ditahan dan dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.- Foto ihsan PDRM

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati kumpulan mat motor ini dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang dan berkonvoi ke sini semata-mata mahu menjamu selera masakan ikan baung di Kampung Telaga di sini.

Dalam operasi pada jam 12 tengah hari dan berakhir 4 petang itu dengan kekuatan empat anggota dan seorang pegawai, sebanyak 67 saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan 'fancy' (19); tiada nombor pendaftaran (18); tiada cermin sisi (14) nombor plat tidak ikut peraturan (9); ubah suai ekzos (4); dan aksesori tidak sempurna sebanyak tiga saman.

Artikel Berkaitan:

Kesemua individu berusia antara 19 hingga 47 tahun dan motosikal dibawa ke IPD Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.