Tiga penunggang motosikal secara bahaya serah diri

Tular video tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban - Port Dickson.
Tular video tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban - Port Dickson.
A
A
A
PORT DICKSON - Polis menahan tiga lagi lelaki disyaki antara tujuh individu yang sebelum ini menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson seperti yang tular dalam sebuah video di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketiga-ketiga individu termasuk seorang pelajar masing-masing berumur 17 hingga 18 tahun itu ditahan selepas hadir menyerah diri di Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada jam 4.20 petang, Khamis.

"Kesemua mereka ditahan di Balai Trafik IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut.

"Dengan tangkapan keseluruhan tujuh individu ini, pihak polis telah menyelesaikan kes yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban - Port Dickson di sini seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial sejak petang Ahad.

Menerusi satu paparan video, aksi kesemua penunggang motosikal itu dimuat naik ke Facebook mendedahkan seramai tujuh orang yang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi 'zig-zag' dipercayai membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Empat daripada tujuh individu itu sebelum ini berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng, Melaka pada Rabu antara jam 1 hingga 4 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya.

Artikel Berkaitan: