Guru wanita menang kes saman ATM, kerajaan Malaysia

Naresh (kanan) bertemu dengan Santhi (dua dari kanan) dan ahli keluarganya di mahkamah.
Naresh (kanan) bertemu dengan Santhi (dua dari kanan) dan ahli keluarganya di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Seorang guru wanita menang kes tuntutan sivil terhadap pemandu perisai jenis Gempita AV8 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah merempuh kereta yang dipandunya dua tahun yang lalu.

R Santhi, 52 turut menamakan ATM sebagai defenden kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defenden ketiga.

Majistret Naziah Mohd Alias membuat keputusan itu di Mahkamah Majistret Sivil pada Jumaat setelah meneliti keterangan yang dibicarakan.

Beliau telah membenarkan tuntutan sepenuhnya plantif bagi ganti rugi khas dan am termasuk faedah dan kos kerana majistret telah memutuskan bahawa tiga defendan cuai sepenuhnya dalam kemalangan yang berlaku pada 4 Ogos 2019.

Peguam N Naresh berkata, keputusan itu memberi keadilan kepada anak guamnya selepas lebih dua tahun terlibat dengan kemalangan terbabit.

Menurutnya, keputusan yang memihak anak guamnya bukan semata-mata kemenangan ganti rugi tetapi untuk keadilan.

"Kenderaan berat seperti perisai yang mempunyai sudut pandangan terhad perlu diiringi pengawal trafik daripada ATM atau dibantu polis trafik bagi mengawal lalu lintas supaya kenderaan berat tidak membawa risiko kepada pengguna jalan raya lain dan juga kerosakkan harta benda.

"Secara tidak sengaja pihak berkuasa yang sepatutnya mempertahankan rakyat boleh mencederakan rakyat sekiranya langkah berjaga-jaga tidak diambil,"katanya kepada media ketika ditemui di mahkamah pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika tiada pengawal lalu lintas disediakan untuk konvoi, jalan raya yang digunakan seharusnya ditutup.

Selain itu beliau berpendapat, sudah tiba masanya ATM meneliti semula prosedur konvoi yang melibatkan kenderaan besar seperti perisai gempita supaya tidak mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Sekiranya ada kawalan trafik daripada polis atau ATM sendiri, kemalangan itu mungkin tidak berlaku," katanya.

Sementara itu, Santhi ketika ditemui bersyukur di atas kemenangannya sekali gus memberi keadilan.

Jelasnya, kemalangan itu menyebabkan emosinya terganggu dan terpaksa menanggung rugi kerana kerosakan dan kecederaan yang dialami.

"Selama 17 tahun itulah kenderaan yang saya gunakan untuk berulang-alik dan menjadi kereta kesayangan keluarga.

"Saya bersyukur kerana selamat dalam kemalangan itu dan hanya alami kerosakkan harta benda dan cedera ringan sahaja," katanya.

Media dua tahun lalu melaporkan kereta perisai milik ATM terbabit kemalangan dengan Proton Wira di Jalan Lingkaran Tengah, berhampiran Ampangan, Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian pada jam 4.30 petang itu berlaku ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kem Batu 10, Kuantan, Pahang menuju ke Port Dickson.