Pendakwah bebas: Garis panduan larangan di Johor masih sama

Aminolhuda (dua,kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan sempena Majlis Perasmian Penutup Tenaga Kejurulatihan Kursus Pra Perkahwinan Islam di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Aminolhuda (dua,kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan sempena Majlis Perasmian Penutup Tenaga Kejurulatihan Kursus Pra Perkahwinan Islam di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Penetapan garis panduan larangan berceramah di negeri ini kepada mana-mana pendakwah bebas dimaklumkan masih tidak berubah dan tetap dengan pendiriannya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sejak sekian lama peraturan yang digunakan adalah dilaksana berdasarkan kemahuan Majlis Agama Islam negeri dan Sultan Johor.

“Peraturan masih sama, apa yang dikehendaki majlis agama di bawah Tuanku adalah tidak boleh ada libatkan politik dan isu sensitif sekali gus boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

“Mereka juga tidak dibenarkan untuk sentuh pihak tertentu dan mengaitkan dengan perkara-perkara yang tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutup Tenaga Kejurulatihan Kursus Pra Perkahwinan Islam di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) Mohd Helmi Sha'ri.

Aminolhuda berkata, penegasan terhadap larangan itu juga adalah bagi memastikan tiada kekeliruan dalam fahaman Islam di negara ini yang mana sentiasa berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Waljmaah.

“Jangan libatkan unsur-unsur yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Waljamaah. Inilah yang menjadi sensitiviti kepada kerajaan negeri. Tuanku Sultan sendiri beri peringatan kepada saya semasa mula-mula saya jadi Exco dulu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak buat ceramah, buatlah tapi jangan sentuh mana-mana pihak, jangan salah gunakan tauliah sehingga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan berapa jumlah terkini pendakwah yang telah dilarang menyampaikan ceramah di negeri ini.

“Kita memang ada senarai, tetapi siapa mereka biarlah rahsia, kalau tengok mereka itu tidak berceramah di sini, mungkin merekalah itu.

“Larangan ini bukan bermakna mereka itu tidak Islam, tetapi ada daripada kriteria yang ditetapkan mereka tidak patuhi,” katanya.