HSN2021 ajak Keluarga Malaysia bersukan

No Image Caption
A
A
A

HARI Sukan Negara (HSN) 2021 yang bakal disambut serentak di seluruh negara secara hibrid esok mengajak ‘Keluarga Malaysia’ mendepani cabaran kesihatan di kala masih berdepan pandemik Covid-19 menerusi amalan gaya hidup aktif.

Ia kerana matlamat HSN2021 adalah menggalakkan Keluarga Malaysia untuk melaksanakan aktiviti sukan berasaskan kecergasan serta bergiat dalam aktiviti rekreasi ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai peneraju kepada usaha pembangunan belia dan sukan di negara sentiasa menyediakan pelbagai inisiatif pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat, namun pembudayaan sukan sebenarnya adalah tanggungjawab semua.

Semua rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, mempunyai peranan untuk mewujudkan budaya bersukan sekali gus berupaya mengurangkan risiko penyakit dalam kalangan masyarakat ketika negara dijangka memasuki fasa endemik menjelang hujung bulan ini.

HSN2021 mempunyai empat asas perancangan iaitu pertama memberi kesedaran akan kepentingan amalan gaya hidup cergas dan aktif walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19 dengan menjadikan aktiviti sukan dan kecergasan sebagai rutin harian bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Kedua adalah meningkatkan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan ke arah pembudayaan sukan yang menyeluruh walaupun dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

HSN2021 juga bertujuan meningkatkan dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum agar terus bersatu untuk terus kekal aktif dan sihat ke arah pemulihan negara yang masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Asas terakhir adalah bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan yang menggalakkan rakyat untuk terus bersukan melalui pembelian dan penjualan barangan sukan sekali gus memberikan sokongan kepada ekosistem sektor sukan dan rekreasi.

Artikel Berkaitan:

KBS menyasarkan penglibatan seramai 2.5 juta orang melaksanakan aktiviti sukan dan rekreasi sempena HSN2021 di seluruh negara dengan keluarga, kanak-kanak, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menjadi kumpulan sasaran.

Selain pusat kecergasan dan pusat kesihatan, HSN2021 juga menjadikan kawasan luar bandar, institut pendidikan, kawasan perumahan dan tempat kerja sebagai kawasan sasaran pelaksanaan hari ikonik tahunan rakyat Malaysia itu.

Sempena HSN2021, KBS telah merancang beberapa program ikonik secara dalam talian di peringkat kebangsaan dengan paling mencuri tumpuan adalah 'Mega Aerobic Challenge (MAC)’ yang merupakan program aerobik tanpa henti selama lima jam melibatkan tujuh jenis variasi aerobik.

Selain itu, program 'HSN21 Fit and Active' juga menjadi antara tarikan utama apabila program itu yang dikendalikan beberapa jurulatih kecergasan bertauliah seperti Kevin Zahri, Nana Al Haleq dan Atilia Haron berjaya mendapat sambutan hangat dengan jumlah 1.5 juta penonton pada siri pertama dan kedua yang dilaksana pada Jun dan Julai lepas.

Tiga lagi program dirancang KBS adalah 'HSN21 Virtual Run', 'HSN21 Fitness Challenge' dan 'HSN21 Fit and Active Family' yang juga mempunyai tarikan tersendiri.

Sebagai rekod, edisi pertama HSN pada 2015 yang menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan jumlah 17,648 aktiviti sukan, berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai lebih lima juta orang.

Penularan pandemik Covid-19 menyaksikan sambutan HSN2020 terpaksa dibatalkan. - Bernama