Belum ada keperluan isytihar darurat di Melaka

Noor Effandi
Noor Effandi
A
A
A

MELAKA - Belum masanya dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Melaka sedangkan cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dikhuatiri menjejaskan isu keselamatan rakyat lalu jalan terbaik untuk membentuk kerajaan negeri adalah daripada gabungan majoriti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, beliau berharap Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam melaksanakan proses sama adil dan profesional.

"Kesempatan ini perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Khamis.

Tambah Noor Effandi, sebelum ini Yang di-Pertuan Agong melaksanakan proses perubahan kepimpinan kerajaan Pusat dengan kaedah yang memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira parti politik.

"Itulah yang menjadi amalan negara ini, kebiasaannya dicontohi negeri kita," katanya.

Ditanya mengenai parti yang akan disertai, Noor Effandi menjawab, beliau belum membuat keputusan tetapi pasti bersama PH Melaka.

"Seperti dalam sidang media dua hari lalu, saya kembali semula kepada PH," katanya.

Sinar Harian melaporkan UMNO tidak menolak kemungkinan mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRN Melaka diadakan.

Artikel Berkaitan: